Pembangunan teknologi dalam kejuruteraan genetik membolehkan saintis mencipta organisma dengan sifat yang diingini di dunia. Sebagai contoh, saintis boleh mengasingkan gen daripada obor-obor, dan memasukkan gen yang boleh menghasilkan protein flurosen ke dalam badan ikan zebra dan seterusnya menjadikan ikan zebra bersinar-sinar dalam keadaan gelap.

Kejuruteraan genetik adalah istilah yang digunakan kepada pengubahsuaian genetik sesuatu organisma. Kejuruteraan genetik berbeza daripada pembiakan tradisional yang gen organisma diubah secara tidak langsung. Kejuruteraan genetik menggunakan teknik pengklonan dan pengubahsuaian molekular untuk mengubah struktur dan ciri-ciri gen secara langsung.

Kejuruteraan genetik juga dikenali sebagai teknologi DNA rekombinan kerana gen yang terdiri daripada urutan DNA tertentu diasingkan dan digabung semula dengan DNA organisma lain. Teknologi ini membolehkan manusia memindahkan sesuatu maklumat genetik yang berguna daripada sesuatu spesis organisma kepada spesis organisma lain.

Kejuruteraan genetik telah menerobos sempadan spesis dan menghasilkan organisma hidup yang tidak akan wujud secara semula jadi. Organisma yang dicipta dengan pengubahsuai gen ini digelar Organisma Ubah suai Genetik (Genetically Modified Organism – GMO).

Makanan ubah suai genetik (Genetically modified foods – GMF) merupakan makanan yang dihasilkan daripada organisma ubah suai genetik dengan mengubah gen tumbuhan atau ternakan untuk tujuan yang tertentu.

Gen diubah suai untuk tujuan ekonomi, yang biasanya untuk menghasilkan tanaman tahan racun perosak, virus, serangga, meningkatkan jangka hayat, meningkatkan pengeluaran ataupun meningkatkan nilai nutrien tanaman dan ternakan.

Contoh yang biasanya kita dapati adalah padi emas. Padi emas akan menghasilkan beta-karoten, badan manusia memerlukan beta-karoten untuk menghasilkan Vitamin A. Vitamin A diperlukan untuk mengekalkan penglihatan yang jelas. Oleh sebab gen yang menghasilkan beta-karoten bersifat jingga dan kekuningan, maka padi yang tumbuh mempunyai warna kekuningan dan digelar padi emas.

Padi emas dihasilkan dengan mengasingkan daripada gen bakteria (gen crt1) dan daffodil (gen phytoene synthase), seterusnya gen yang terasing ini dimasukkan ke dalam genom padi melalui kejuruteraan genetik.

Selain daripada padi emas, banyak lagi makanan ubah suai genetik yang wujud di pasaran. Misalnya, gen insulin manusia dimasukkan ke dalam sesetengah ternakan agar insulin tiruan dapat dihasilkan dan diekstrak untuk kegunaan manusia; gen ikan dimasukkan ke dalam tomato agar tomato menahan musim sejuk, gen bakteria dimasukkan ke dalam jagung bagi membolehkan jagung tersebut tahan racun perosak atau perosak semula jadi.

Kemajuan sains dan teknologi merupakan satu anjakan dalam kemodenan dunia hari ini. Penggunaan bioteknologi sebagai alat pemacu kemajuan dapat mengubah sifat semua jadi makanan untuk keizinan manusia.

Walaupun makanan ubah suai genetik semakin hari semakin popular di pasaran, tetapi tiada bukti yang kukuh bahawa makanan ubah suai genetik adalah selamat. Kebanyakannya tidak dilabel ataupun diuji untuk risiko jangka masa panjang. Tanpa ujian tersebut, para pengguna akan terdedah kepada risiko yang tidak diketahui.

Ternakan atau tanaman ubah suai genetik adalah benda yang hidup bukan secara semula jadi. Jika ia merebak dan membiak ke alam sekitar semula jadi, maka ia tidak boleh ditarik balik dan akan mencemarkan dan memusnahkan ekosistem semula jadi.

Sebagai contoh, dalam satu kajian yang dilakukan oleh seorang saintis daripada Jabatan Zoologi di University of Gothenburg, Sweden, beliau mendapati bahawa ikan ubah suai genetik, walaupun berupaya membiak dengan cepat dan melawan toksik di alam sekitarnya, tetapi hormon pertumbuhan yang tinggi akan terhasil dan bahan toksik akan terkumpul di dalam badannya. Seterusnya hormon dan toksik yang terkumpul ini akan disalur kepada pengguna akhir, yang biasanya adalah manusia!

Di Malaysia, Akta Biokeselamatan telah diwartakan pada tahun 2007. Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan telah ditubuhkan di bawah Akta ini. Fungsi utama Lembaga ini untuk memantau aktiviti yang berkaitan dengan organisma ubah suai genetik dan hasilan organisma atau makanan yang seumpamanya. Lembaga ini juga berfungsi untuk memberikan nasihat saintifik, teknikal dan nasihat yang berkaitan kepada Menteri.

Kesimpulannya, aktiviti tentang organisma ubah suai genetik di Malaysia adalah di bawah pengawasan Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan. Oleh itu, diharap badan ini dapat memastikan keselamatan pengguna dapat terjamin.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia