Baru-baru ini saya telah menerima panggilan telefon daripada ”Call Centre” yang menawarkan kad VIP kepada saya kerana mempunyai rekod yang baik pembayaran kad kredit yang dikeluarkan oleh sebuah bank terbesar di negara ini.

Pemanggil menerangkan saya telah terpilih daripada senarai pelanggan kad kredit bank terbesar berkenaan. Beliau telah menerangkan tentang keistimewaan kad VIP itu.

Dengan anggapan bahawa pemanggil adalah daripada ”Call Centre” yang dikendalikan oleh bank terbesar tersebut, saya telah bersama-sama menyemak maklumat kad kredit saya yang dibacakan oleh pemanggil. Saya mengesahkan maklumat yang diberikan adalah betul, iaitu nombor kad kredit, nombor kad pengenalan dan tarikh tamat kad kredit.

Pemanggil seterusnya memaklumkan bahawa saya dikehendaki membayar sebanyak RM598 sebagai bayaran perkhidmatan. Saya dimaklumkan kad VIP tersebut adalah ”Summerset Card Elite Card” yang diuruskan oleh MBF Corporation, yang merupakan syarikat yang menjalankan operasi perkongsian masa.

Yang menjadi persoalannya ialah bagaimana maklumat lengkap kad kredit termasuk nombor telefon bimbit saya ada pada pihak ketiga yang tidak ada sebarang urusan dengan saya sebelum ini. Maklumat lengkap kad kredit saya seperti nombor kad kredit dan tarikh tamat sudah mencukupi untuk membolehkan pihak-pihak tertentu untuk membuat transaksi kad kredit dalam talian tanpa pengetahuan saya.

Tindakan pengurusan bank terbesar berkenaan yang memberikan maklumat pelanggan kepada pihak ketiga adalah tidak beretika dan tidak sewajarnya berlaku kepada pelanggan mereka yang beranggapan sebarang maklumat mereka adalah sulit.

Bank terbesar berkenaan perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 kerana memberikan maklumat peribadi pelanggan kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan pelanggan.

Selain itu, syarikat MBF Corporation juga telah melakukan kesalahan di bawah Akta Jualan Langsung 1993 kerana tidak memberikan tempoh bertenang selama 10 hari bekerja kepada pelanggan yang ditawarkan kad VIP tersebut. Mereka mengenakan bayaran sebanyak RM598 yang dibuat secara serta merta melalui kad kredit sekiranya pelanggan bersetuju menerima kad tersebut.

Bank Negara Malaysia sebagai pengawal selia perkhidmatan bank di negara ini perlu memantau tindak laku bank yang seringkali bertindak melangkaui bidang kuasa mereka demi untuk mengaut keuntungan daripada pelanggan.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia