Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memberi pilihan kepada pengguna untuk memperbaharui cukai jalan secara dalam talian melalui laman web MyEG. MyEG Services Berhad telah dilantik oleh kerajaan Malaysia untuk menjalankan perkhidmatan kerajaan elektronik.

Ramai pengguna telah menggunakan perkhidmatan ini kerana mudah digunakan dengan hanya mengunjungi laman web www.myeg.com.my atau www.jpj.gov.my. Bayaran pula boleh dibuat dalam talian seperti dengan menggunakan Maybank2u.

Perkhidmatan dalam talian ini disediakan selama 24 jam setiap hari. Pengguna boleh memperbaharui cukai jalan mereka di mana-mana tempat yang mempunyai akses internet. Selain itu perkhidmatan ini juga memberi diskaun sehingga 30% dari cukai jalan dan juga menghantar cukai jalan ke rumah pengguna secara percuma.


Apakah masalah yang dihadapi oleh pengguna dengan perkhidmatan dalam talian ini?

 


Tidak terdapat sebarang jaminan tentang sistem keselamatan yang memastikan mereka yang memperbaharui cukai jalan adalah pemilik sebenar kereta tersebut kerana sesiapa yang mengetahui butir-butir peribadi pemilik kereta boleh memperbaharui cukai jalan tanpa pengetahuan pemilik kereta. Malah pembaharuan tidak perlu disertakan dengan surat pendaftaran kenderaan.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima aduan daripada pengguna yang telah hilang keretanya. Kemudiannya beliau mendapati kereta tersebut telah digunakan oleh orang lain apabila beliau menerima saman kesalahan jalan raya yang dilakukan oleh orang yang menggunakan kereta beliau itu. Beliau juga mendapat tahu bahawa cukai jalannya telah diperbaharui tanpa pengetahuannya dengan menggunakan perkhidmatan MyEG.

Oleh pihak pengurusan MyEg perlu membuat sesuatu penambahbaikan untuk memastikan perkhidmatannya digunakan oleh pemilik yang sah dan tidak disalahgunakan oleh segolongan orang yang tidak bertanggungjawab.


Deivigarani Krishna.
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)