Apabila seseorang ingin menuntut sesuatu ganti rugi dalam kes sivil, beliau harus memfailkan kes tersebut di mahkamah sivil dalam satu jangka masa yang tertentu. Mengikut Seksyen 6(1), Akta Had Masa 1953, sesuatu tindakan yang terbit daripada kontrak dan tort haruslah dibawa ke mahkamah dalam tempoh masa enam tahun.

Selepas tamat tempoh had masa, sebarang tuntutan tidak boleh difailkan di mahkamah, kecuali, mengikut seksyen 29, di bawah Akta tersebut, ada bukti seperti fraud atau salah (mistake) yang menyebabkan pihak yang ingin menuntut tidak dapat mengenali hak tuntutannya.

Tempoh had masa enam tahun mula dikira daripada tarikh sesuatu insiden seperti hari kemalangan atau hari pengingkaran mematuhi peraturan-peraturan yang telah dipersetujui di antara kedua-dua pihak. Sebagai contoh, dalam satu kemalangan jalan raya, tarikh dan masa kemalangan jalan raya di antara dua kenderaan adalah titik permulaan had masa tuntutan oleh pihak yang ingin menuntut ganti rugi terhadap pihak yang bersalah.

Begitu juga, dalam satu perjanjian kontrak, misalnya dalam perjanjian pinjaman kewangan di antara bank dan peminjam. Apabila si peminjam ingkar dalam membuat bayaran balik pinjaman kepada bank, maka tarikh pengingkaran adalah titik permulaan enam tahun bagi bank untuk memfailkan satu tindakan mahkamah terhadap si peminjam.

Adakalanya pihak menuntut tidak tahu bilakah tarikh permulaan dan penamatan had masa untuk membawa satu tindakan mahkamah terhadap pihak bersalah. Misalnya, mangsa yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Pada hari dan masa kemalangan itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan yang nyata dan merasakan sebarang kesakitan. Tetapi, selepas 2 tahun dari tarikh kemalangan tersebut, mangsa mulai menderitai kesakitan tubuh dalaman yang boleh dihubungkaitkan dengan kemalangan yang berlaku itu. Jadi, dalam situasi ini, titik had masa mula berjalan dari tarikh mangsa merasakan kesakitan atau pengenalan kecederaan dalam tubuh berikutan kemalangan tersebut. Had masa ini juga dikenali sebagai defektif tiada nyata / latent defect.

Selain daripada had masa umum ini, ada juga had masa yang tertentu mengikut Akta-Akta tertentu. Umpamanya, Seksyen 99, Akta Perlindungan Pengguna 1999, menghadkan masa tindakan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia kepada 3 tahun dari tarikh kemungkiran sesuatu perjanjian. Begitu juga, Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966, menentukan had masa 2 tahun bagi pembeli rumah supaya mengambil tindakan mahkamah terhadap pemaju rumah untuk membaik pulih kecacatan perumahan jika pemaju enggan membaik pulih rumah tersebut mengikut Akta ini.

Jadi sebagai pengguna, khususnya pihak yang ingin membawa sesuatu tuntutan ke mahkamah ataupun kepada badan-badan penyelesaian tertentu, jangan terjerumus ke dalam arus perbincangan atau tawar-menawar dengan pihak dituntut dan bersedia memfailkan satu kes tuntutan di mahkamah sebelum had masa tamat. Di sini pengguna harus memahami bahawa pihak menuntut boleh meneruskan tawar-menawar / perbincangan di luar mahkamah untuk satu penyelesaian, walaupun kes telah difailkan di mahkamah.

 

P. Vasudavan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)