Tidak kira di mana jua kita berada dan apa juga status kehidupan kita, kita semua adalah pengguna kerana kita membeli dan mengunakan perkhidmatan. Tiada ada sesiapa pun yang terkecuali daripada menjadi pengguna. Namun begitu, masih ramai yang berpendapat bahawa isu dan masalah pengguna adalah sesuatu yang tidak penting bagi mereka sehinggalah apabila mereka menghadapi sesuatu masalah.

Adakah semua pengguna mengetahui tentang lapan hak pengguna, misalnya hak untuk mendapatkan keperluan asas, mendapatkan keselamatan, mendapatkan maklumat, membuat pilihan, bersuara , mendapatkan ganti rugi, mendapatkan pendidikan pengguna dan akhirnya untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat.


Berdasarkan aduan yang sering diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), jelas menunjukkan bahawa banyak masalah yang dihadapi oleh pengadu tersebut, kegagalan mereka mengetahui tentang hak-hak dan tanggungjawab pengguna. Inilah masalah utama pengguna di Malaysia. Kebanyakannya tidak sedar akan kesilapan dan kecuaian mereka sendiri dan hanya mempersoalkan kesilapan penjual sahaja.

Oleh itu, pengguna perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu kepenggunaan. Apabil mereka ini dapat menjadi pengguna yang bijak dan lestari, maka mereka mampu untuk menangani masalah akan bakal mereka hadapi dan dapat bertindak dengan bijak. Pengetahuan seperti meneliti tarikh luput sesuatu barang, keadaan dan kualiti sebelum membawanya balik dan sebagainya, akan membantu mereka untuk menggunakan barang yang selamat. Di samping itu mereka juga perlu bertindak menegur penjual yang melakukan kecuaian.

Satu lagi kelemahan besar pengguna ialah kegagalan mereka untuk berkata, “Tidak” dan cepat mengambil keputusan membeli walaupun tidak mahukan perkhidmatan ataupun produk berkenaan. Akhirnya, selepas menandatangani suatu perjanjian atau kontrak perkhidmatan, mereka menghadapi banyak kesulitan untuk membatalkanya. Ini kerana sebarang perjanjian ataupun kontrak yang ditandatangani adalah sah di sisi undang undang.

Pengguna perlu sentiasa sedar bahawa hak untuk membuat pilihan adalah di tangan mereka sendiri. Hak tersebut perlu digunakan dengan berwaspada dan setiap keputusan yang dibuat harus dipikul bebannya. Sekiranya penjual yang memberikan layanan yang tidak memuaskan, tidak seperti yang dijanjikan, maka pengguna berhak untuk bersuara dan mendapatkan ganti rugi ataupun mendapat perlindungan yang sewajarnya!.

Kuasa Pengguna Di Tangga Anda. Jangan Abaikannya !!!

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
16 Jun 2010