Sejak awal bulan April, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima banyak aduan tentang telefon bimbit yang dibeli di pesta telefon yang sedang rancak diadakan di serata Malaysia. 

Ramai pengguna yang membeli telefon di pesta telefon kerana percaya dengan dakwaan jurujual bahawa telefon tersebut adalah tulen dan diberikan diskaun sehingga 70 peratus.


Aduan yang diterima ini amat membimbangkan kerana pengguna menghadapi risiko yang amat tinggi dan tiada perlindungan yang diberikan sekiranya mereka ditipu. Begitu juga kegiatan menjual telefon yang tidak mempunyai jaminan dari segi kualiti dan khidmat selepas jualan melalui pesta telefon juga sekiranya tidak dikawal akan menjadi pusat bagi penipuan.

Ramai pengguna mengadu bahawa mereka telah tertipu akibat harga yang terlalu murah misalnya harga Iphone dan Blackberry hanya dalam lingkungan RM 180.00 sehingga RM 800.00. Namun berapa yang menyedari muslihat di sebaliknya. Kita hanya membeli tanpa membuat penyiasatan ataupun mendapat nasihat daripada mana-mana pihak. Pernahkah terlintas dalam fikiran kita, kenapa dan bagaimana seorang penjual boleh menjual sesuatu produk dengan harga yang lebih murah dengan harga pasaran?

Kemungkinan besar, produk berkenaan adalah produk tiruan, palsu, dicuri ataupun produk yang diseludup masuk ke negara kita. Pengguna dinasihatkan agar bertanggungjawab dalam membuat keputusan.

Dalam masa ini, terdapat banyak saluran untuk mendapatkan maklumat dan pendapat daripada pengguna lain, umpamanya melalui forum-forum di internet. Pengguna juga boleh mendapat komen-komen mengenai penjual melalui pengalaman pengguna lain. Jangan membuat keputusan untuk membeli secara terburu-buru.

Sekiranya anda membeli daripada pihak yang tidak dikenali mahupun dari premis yang tidak tetap, kemungkinan besar apabila menghadapi masalah ataupun kerosakan dengan produk berkenaan, anda tidak dapat mencari mereka lagi. Kebanyakan daripada mereka tidak mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Ini menimbulkan kesukaran untuk mengesan mereka.

Begitu juga jika melaporkan kes kepada bahagian penguatkuasa atau memfailkan kes di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, kes ini sukar untuk diselesaikan kerana kesukaran untuk mendapatkan penjual. 

Pengguna perlu jelas dengan risiko yang bakal mereka hadapi akibat daripada keputusan pembelian mereka.

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
14 Mei 2010