Sering kali apabila kita meletakkan kereta di parkir kereta berbayar, terdapat notis yang menyatakan “park at your own risk” (parkir atas risiko sendiri). Ini bermakna syarikat parkiran kereta tersebut tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kecurian atau kerosakan ke atas kereta yang diletakkan di situ.

Pihak yang menggunakan perkhidmatannya (contoh pemilik kereta) tidak mempunyai sebarang pilihan melainkan terpaksa menerima syarat-syarat tersebut. Dalam situasi seperti ini, syarikat parkiran kereta telah mengenakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh pemilik kereta untuk menggunakan perkhidmatan mereka.


Apabila syarikat parkiran kereta meletakkan syarat tersebut, bermaksud ia ingin menafikan atau mengecualikan diri daripada tanggungjawab tertentu. Terma “park at your own risk” merupakan salah contoh fasal pengecualian. Ini adalah salah satu cara bagi syarikat parkiran kereta mengelak risiko dikenakan liabiliti dan seterusnya dikenakan membayar ganti rugi atau pampasan.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima aduan daripada pengguna yang mempertikaikan fasal pengecualian itu. Sebenarnya, berdasarkan undang-undang, pengguna yang menggunakan perkhidmatan untuk kegunaan diri sendiri, masih berhak untuk mendapat ganti rugi daripada syarikat parkiran kereta jika berlaku kecurian atau kerosakan semasa dalam kawalan syarikat tersebut.

Secara logiknya, syarikat parkiran kereta hendaklah mengadakan kawalan keselamatan yang ketat untuk menjaga tempat tersebut. Mereka perlu memasang lampu yang mempunyai alat pengesan untuk mengawal parkiran kereta.

Namun begitu, apa pula yang berlaku sekiranya kecurian berlaku disebabkan oleh kecuaian pemilik kereta?

Jika kecurian berlaku disebabkan oleh kecuaian pemilik kereta, maka syarikat parkiran kereta boleh mengecualikan diri mereka daripada liabiliti. Pemilik kereta perlu memastikan kereta sentiasa dikunci, memasang kunci tambahan untuk stereng, gear, roda dan clutch. Mereka hendak meletak kereta di tempat yang mudah dilihat. Sekiranya pada waktu malam, parkir kereta di kawasan yang terang dan berlampu. Akhir sekali. jangan serahkan kunci kepada jockey kereta.

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
18 Mei 2010