Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia membuat pengesahan bahawa tidak terdapat sebarang bukti saintifik yang menunjukkan bahawa produk alternatif yang dijual di negara ini yang boleh merawat masalah Mata seperti rabun, kerosakan saraf kerana kencing manis, Mata berselaput, glaukoma Dan sebagainya.

Pengesahan ini dibuat bagi menangkis dakwaan melalui iklan dalam media cetak dan elektronik yang dibuat oleh syarikat yang mengeluarkan produk yang boleh merawat masalah mata.


Memang kebelakangan ini kian berleluasa wujudnya pelbagai produk, khususnya produk alternatif yang membuat pelbagai dakwaan boleh mengubat bermacam-macam penyakit kronik seperti Mata, hati, kanser dan sebagainya. Produk ini, dalam pelbagai bentuk seperti kapsul, jus, penapis air dan sebagainya, diiklan secara meluas melalui media popular seperti radio, akhbar, majalah dan sebagainya.

Namun begitu, dakwaan tersebut tidak disertai dengan kajian secara saintifik oleh pihak yang berautoriti dalam bidang tersebut. Semua orang tahu tentang khasiat tanaman herba tertentu dari segi kesihatan dan sebagainya. Tetapi jika kandungan tanaman tersebut dalam produk itu terlalu sedikit dan selebihnya adalah bahan lain seperti bahan aditif, maka keberkesanan produk tersebut amat diragui.

Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan agensi kerajaan yang lain perlu memantau gejala ini. Pengguna dikelirukan dengan bermacam-macam produk dengan pelbagai dakwaan. Usaha KPDNKK untuk meminta Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk mewujudkan jawatankuasa pemantauan iklan amat wajar sekali dan perlu disegerakan.

Begitu juga Kementerian Kesihatan perlu menggunakan peruntukan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 bagi memastikan tidak Ada pihak yang sewenang-wenangnya membuat iklan yang mengelirukan pengguna dengan membuat dakwaan yang keterlaluan.

MOHD YUSOF BIN ABDUL RAHMAN
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

21 Mei 2010