Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang wanita. Suaranya dalam ketakutan seolah-olah kehidupannya tiada bermakna lagi.

Apakah terjadi kepadanya? Wanita tersebut telah kehilangan wang simpanan KWSPnya berjumlah RM40,000 kepada sindiket “Gores dan Menang”.

Wanita ini telah dihampiri oleh jurujual sindiket “Gores dan Menang” yang telah memujuknya dengan mengatakan bahawa beliau boleh membawa pulang barang-barang yang dinyatakan dalam kad gores. Sebaik dia mengores kad, jurujual tersebut melompat kegembiraan kerana mendakwa wanita itu telah telah memenangi sebuah Proton Perdana, sambil menyatakan hal ini jarang berlaku. Jurujual itu meluahkan kekaguman terhadap tuah wanita itu dengan perasaan tidak percaya. Wanita tersebut terpengaruh dengan reaksi jurujual itu dan membawa jurujual itu dengan menggunakan keretanya pergi ke pejabat jurujual itu untuk menebus hadiah yang dimenangi.

Sebaik tiba di premis, wanita tersebut ditunjukkan dengan gambar-gambar pemenang cabutan bertuah Proton Perdana. Setelah menunggu selama setengah jam, seorang lelaki yang dipercayai sebagai pengurus syarikat telah tiba. Beliau mendakwa sekiranya wanita itu ingin  memenangi Proton Perdana, beliau perlu membayar RM40,000.00 sedangkan harga pasaran kereta Proton Perdana ialah lebih dari RM100,000.00.

Setelah berpuas hati dengan harga, perempuan tersebut mengambil wang telah mengeluarkan wang KWSP dan memberikan  kepada jurujual syarikat tersebut dengan kepercayaan beliau akan mendapat kereta tersebut. Wanita itu baru menyedari bahawa beliau telah tertipu apabila syarikat itu hanya memberikan barangan elektrik kepadanya. 

Pengguna perlu menyedari simpanan KWSP adalah untuk kegunaan masa tua yang disimpan sepanjang tempoh bekerja seseorang. Jika masyarakat terus membiarkan diri mereka mudah terpedaya dan tertipu oleh sindiket “Gores dan Menang”, maka  kerajaan tidak boleh membanteras kegiatan tersebut.

Deivigarani Krishna.
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) 
24 Mei 2010