Pengangkutan merupakan salah satu perkara yang amat penting bagi pengguna bagi menjalankan kegiatan harian. Terdapat pelbagai jenis pengangkutan yang digunakan oleh pengguna untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Salah satu jenis pengangkutan yang paling lazim digunakan oleh pengguna adalah pengangkutan kereta, van, dan motosikal. Perkembangan ekonomi, peningkatan pendapatan per kapita, kemudahan pinjaman dan kewangan membolehkan seseorang membeli sesebuah kenderaan dengan mudah.

Di pasaran kini, terdapat pelbagai pilihan untuk memenuhi citarasa pengguna. Menurut Persatuan Automotif Malaysia, pada tahun 2010 sahaja dijangka terdapat sebanyak 536,905 kenderaan yang telah berdaftar. Adalah mudah untuk seseorang pengguna untuk memiliki kenderaan tetapi keupayaan untuk memastikan kenderaan yang dibeli sentiasa berada dalam keadaan selamat bagi kesemua penumpang di dalam kenderaan adalah sesuatu yang boleh dikatakan mencabar.

 

Menurut laporan World Report on Traffic Injury Prevention, lebih dari 1.2 juta penduduk meninggal duni dan sebanyak 50 juta penduduk cedera setiap hari di seluruh dunia. Jumlah ini dijangka akan meningkat kepada 65% dalam 20 tahun yang akan datang jika tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak- pihak tertentu.

Di Malaysia, terdapat 341,252 kemalangan jalan raya pada tahun 2006 yang melibatkan 6287 kematian (PDRM). Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada berlakunya kemalangan seperti persekitaran, sikap pemandu, rekabentuk jalan raya dan sebagainya, Tetapi, satu perkara yang harus diberi perhatian adalah rekabentuk keselamatan pada kenderaan itu sendiri.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah mencatatkan sebanyak 1314 aduan pada tahun 2009 yang melibatkan ketidaksempurnaan dalam kualiti dan keselamatan kenderaan yang dibeli. Kenderaan baru yang dibeli dihantar kepada pengguna dalam keadaan yang tidak 100% sempurna. Setelah pengguna menggunakan dalam sesuatu tempoh, kenderaan tersebut menimbulkan pelbagai masalah kepada pengguna. Perkara yang paling serius adalah apabila kenderran yang dibeli tidak menjamin keselamatan kepada pengguna seperti yang sepatutnya.

Sesuatu kenderaan yang dihasilkan sepatutnya menepati ciri- ciri rekabentuk keselamatan yang telah ditetapkan oleh sesebuah akta, peraturan dan standard. Ciri –ciri ini boleh berbeza dari satu negara ke negara yang lain tetapi, ciri- ciri asas untuk keselamatan tidak jauh berbeza dan ianya amat penting untuk dipatuhi oleh industri automobile. Walau bagaimanapun terdapat beberapa pengeluar yang tidak memberi penumpuan terhadap perkara ini dimana kualiti dan keselamatan pada kenderaan gagal apabila sampai kepada pengguna.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional telah mencatatkan beberapa aduan penting mengenai isu keselamata kepada pengguna mengenai kenderaan baru yang dibeli. Antara aduan- aduan tersebut adalah seperti berikut:

- Airbag tidak berfungsi sewaktu kemalangan dan menyebabkan pemandu meninggal dunia
- Airbag tiba- tiba meletup pada keadaan yang tidak sepatutnya menyebabkan pemandu hampir berlanggar dengan kenderaan lain.
- Kebocoran minyak pada enjin & Lubang pada tangki minyak
- Kepanasan melampau pada radiator dan menyebabkan api pada bahagian hadapan kereta
- Tayar meletup mengakibatkan pemandu panik dan hampir melanggar dengan kenderaan lain
- Brek kenderaan tidak berfungsi
- Kabel wayar yang cair menyebabkan asap pada kenderaan
- Lampu tidak berfungsi
- Bateri kereta meletup tiba- tiba
- Kereta berhenti di jalan raya secara tiba- tiba dan dilanggar oleh kenderaan dari belakang

Terdapat pelbagai lagi contoh yang telah menyebabkan risiko terhadap keselamatan pengguna kenderaan.  Apabila pengguna menghantar kenderaan tersebut ke bengkel untuk dibaiki, satu lagi masalah yang sering berlaku adalah perkhidmatan pengguna yang tidak memuaskan. Pengguna mengadu bahawa kadang kala mereka terpaksa menunggu dengan begitu lama untuk mendapatkan alat ganti. Terdapat pusat servis yang menipu pengguna dengan mengatakan bahawa alat ganti tersebut adalah tulen tetapi setelah digunakan ianya akan memberikan masalah yang sama kepada pengguna. Kos yang begitu tinggi juga dikenakan kepada pengguna dan ini merupakan satu perkara yang amat tidak adil kepada mereka. 

Persatuan Pengguna – Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) berpendapat bahawa perkara yang paling penting untuk memastikan kualiti dan keselamatan kenderaan pengguna terjamin adalah malalui penguatkuasaan. Selain itu, sekiranya terdapat aduan dari pengguna, pihak penguatkuasaan harus mengambil tindakan terhadap pihak industri yang mengeluarkan kenderaan tersebut dan memastikan syarikat tersebut membuat kenderaan mereka dengan ciri- ciri keselamatan yang tahan lama. Pihak industri pula harus mempunyai tanggungjawab sosial di mana selain dari mengaut keuntungan, mereka juga harus memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan 100% selamat , berkualiti tinggi dan mematuhi kesemua standard yang diperlukan supaya kemalangan seperti ini boleh dielakkan.

Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia