Akta Perlindungan Pengguna 1999, iaitu di bawah Seksyen 17, memberi kemudahan kepada para pengguna untuk membatalkan sesuatu kontrak Perkhidmatan Hadapan tanpa perlu melalui prosidur undang-undang yang rumit seperti di bawah Akta Kontrak 1950.

“Perkhidmatan Hadapan” boleh ditafsirkan sebagai suatu kontrak bagi perkhidmatan pangguna yang akan disediakan atas dasar berterusan. Tujuan utama penggubalan Seksyen ini untuk melindungi pengguna daripada sikap peniaga atau penyedia perkhidmatan yang terus menganiayai pengguna dengan sesuatu kontrak perkhidmatan hadapan yang tidak adil.


Di bawah Seksyen 17 juga, kategori-kategori perkhidmatan hadapan yang dimaksudkan akan ditentukan oleh menteri dari semasa ke semasa.

Berikut adalah kategori-katagori perkhidmatan hadapan yang telah diwartakan oleh menteri pada September, 2002

PERINTAH PERLINDUNGAN PENGGUNA ( KONTRAK PERKHIDMATAN HADAPAN ) 2002.

 

Malangnya sehingga kini. penerbitan yang dijual di pasaran, yang mengandungi statut Akta Perlindungan Pengguna 1999, masih tidak memasukkan perintah pewartaan ini.

Apakah hak pengguna?

Apabila seseorang pengguna berhasrat untuk membatalkan kontrak perkhidmatan hadapan sebagaimana yang terdapat dalam kategori yang telah diwartakan, mereka boleh berbuat sedemikian pada bila-bila masa sahaja.

Sesuatu pembatalan tersebut akan berkuat kuasa secara serta-merta sebaik sahaja pembatalan tersebut dimaklumkan kepada peniagaan atau penyedia perkhidmatan. Dalam hal ini, makluman pembatalan tersebut boleh dibuat secara lisan.

Sekiranya peniaga atau penyedia perkhidmatan gagal dihubungi, maka makluman pembatalan boleh dibuat dengan cara yang lain, mengikut keadaan yang dirasakan munasabah. Umpamanya, pembatalan dinyatakan dengan menulis surat secara serta-merta di premis perniagaan ini dan menyerahkannya kepada pembantu kedai dengan bukti penyerahan ataupun memberitahu secara lisan kepada pembantu kedai dan sebagainya. Begitu juga dengan kaedah-kaedah yang lain seperti khidmat pesanan ringkas, e-mel, panggilan telefon dan sebagainya.

Dalam keadaan jika sesuatu kontrak bertulis telah dibuat di antara pengguna dengan peniaga atau penyedia perkhidmatan. Sekiranya kontrak tersebut ingin dibatalkan dan peniaga atau penyedia perkhidmatan tersebut boleh dihubungi, maka pembatalan kontrak itu tertakluk kepada syarat-syarat nyata di dalam kontrak itu, iaitu satu notis pembatalan hendaklah dibuat secara bertulis. Oleh itu pengguna hendaklah membuat pembatalan dengan notis bertulis.

Begitu juga jika sesuatu kontrak dibuat tanpa bertulis, maka pembatalan boleh dilakukan secara lisan, perbuatan ataupun kedua-duanya sekali. Pengguna tidak perlu menggunakan kata-kata tertentu semasa pembatalan, sedangkan niat untuk membuat pembatalan itu adalah jelas. Dalam hal ini pengguna hendaklah berhenti daripada menggunakan perkhidmatan tersebut.

Apa pula hak peniaga atau penyedia perkhidmatan?

Apabila sesuatu kontrak itu dibatalkan, peniaga atau penyedia perkhidmatan boleh meminta daripada pengguna, bayaran sebanyak lima peratus daripada jumlah harga kontrak, kos barangan yang telah digunakan, kos barangan disimpan oleh pengguna dan kos perkhidmatan yang telah diterima oleh pengguna.

Jika seseorang pengguna membuat bayaran penuh bagi perkhidmatan hadapan, maka peniaga atau penyedia perkhidmatan hendaklah memulangkan jumlah baki kepada pengguna, selepas menolak kos-kos yang berkaitan, dalam tempoh 14 hari.

Sekiranya pembatalan tidak dapat dibuat, apa yang langkah seterusnya?

Sekiranya pengguna dan peniaga atau penyedia perkhidmatan tidak dapat menyelesaikan isu pembatalan tersebut di bawah Seksyen 17, maka pengguna membuat tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)