Penipuan Pelaburan “FOREX” merupakan aduan yang sering diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC). Ramai mangsa pelaburan FOREX yang tampil ke hadapan membuat aduan tentang kehilangan wang mereka yang bernilai beribu–ribu ringgit disebabkan pelaburan ini. Mereka mendakwa telah diperdayakan oleh syarikat tempat mereka bekerja untuk melabur ke dalam pelaburan FOREX. Pada hakikatnya wang “tidak pernah dilaburkan ke dalam pasaran FOREX” seperti yang dijanjikan oleh pihak syarikat tersebut. Syarikat ini tiada kena mengena dengan pelaburan forex yang sebenarnya.

 


Sasaran utama syarikat tersebut ialah graduan-graduan lepasan ijazah, khususnya kaum melayu. Syarikat “memancing” mangsa melalui penyiaran iklan di dalam akhbar tempatan untuk jawatan kosong dengan menawarkan gaji yang lumayan. Sewaktu temuduga, tidak dinyatakan latar belakang syarikat dan kerja sebenar yang bakal dibuat iaitu “memancing pelabur”.

Mangsa perlu menjalani sesi latihan selama lima hari untuk menjadi agen-agen pelaburan. Mereka tidak diberikan bayaran dalam tempoh tersebut. Sewaktu sesi latihan, mangsa tidak dimaklumkan mengenai kemungkinan pelaburan tersebut akan mengalami kerugian, sebaliknya dinyatakan bahawa semua pelaburan akan mengaut keuntungan”.

Jikalau mangsa berjaya memperkenalkan pelabur baru, mereka akan dibayar komisyen yang tinggi. Lantaran mempercayai kata-kata manis pihak syarikat dan seolah-olah mangsa-mangsa ini telah dipukau, mereka telah memujuk/memaksa ahli-ahli keluarga dan rakan–rakan untuk membuat pelaburan dengan harapan akan mendapat pulangan yang tinggi, sehingga boleh mencecah belasan ribu ringgit.

Setelah tiga bulan bekerja dengan syarikat tersebut, dan para pelabur kehilangan beribu–ribu ringgit, barulah mangsa-mangsa menyedari mereka sebenar telah ditipu oleh pihak syarikat.

Penipuan Pelaburan FOREX juga seakan-akan “skim cepat kaya” yang menjanjikan pulangan pelaburan yang tinggi dengan jumlah pelaburan yang kecil. Skim ini juga dikatakan sebagai tidak melanggar undang-undang dan tidak berisiko.

Namun begitu, di bawah peraturan Pengambilan Deposit Tanpa Lesen, iaitu seksyen 25(1) Akta bank dan institusi-institusi kewangan 1989 (ABIK/BAFIA) “tiada seorang pun boleh menerima, mengambil, atau menyetujuterima deposit kecuali di bawah dan mengikut suatu lessen sah yang diberikan di bawah seksyen 6(4) ABIK Urusniaga Matawang Asing Tanpa Lesen (HARAM) Peruntukan dalam Akta kawalan pertukaraan wang 1953 : Seksyen 4(1) “ kecuali dengan kebenaran pengawal, tiada seorang pun, selain daripada peniaga diberikuasa, boleh membeli atau meminjam apa-apa matawang asing dari, atau menjual atau memberikan pinjaman matawang asing kepada, mana-mana orang selain peniaga diberi kuasa, dalam Malaysia.

Bank Negara Malaysia merupakan badan utama yang mengendalikan perniagaan FOREX di Malaysia. Pada masa ini Bank Negara Malaysia telah memberikan kebenaran menjalankan FOREX kepada bank Perdagangan, bank Islam, BIMB Foreign currency Clearing Agency Sdn. Bhd. dan RMEX Trading Sdn. Bhd.

Dalam kes penipuan pelaburan FOREX ini, para pengguna hendaklah sentiasa peka supaya tidak terpedaya dengan tipu helah oleh syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya pengguna berhadapan dengan situasi seperti ini, mereka perlu kepada pihak berkuasa. Mereka perlu menyiasat kewujudan syarikat-syarikat ini dan tujuan syarikat ini beroperasi di Malaysia.

Yesotha Balakrishnan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
10 Mac 2010