Iklan yang tidak tepat (misleading) akan menyebabkan pengguna yang keliru menyelesaikan satu masalah dan tersangkut dengan masalah baru. WECAM telah mengenalpasti dua iklan yang telah pun dilaporkan kepada Bahagian Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Ilan pertama merupakan sebuah bank yang mempromosikan penggunaan kad kredit mereka untuk tujuan mengisi petrol daripada sebuah syarikat petrol. Melalui tindakan ini, pengguna dapat memperoleh mata ganjaran yang boleh digunakan pada masa depan. Apabila kedua-dua syarikat ini menikmati aliran tunai, iklan ini mempromosikan penggunaan lebih banyak petrol untuk lebih mata ganjaran di mana pengguna digalakkan membazir. Baru-baru ini Malaysia telah menggariskan Dasar Teknologi Hijau dan tambahan pula, Dasar Pengguna Kebangsaan juga menggariskan penggunaan lestari sebagai isu utama. Bagaimana pula iklan yang bertentangan dengan dasar kerajaan dibenarkan?

Iklan kedua pula berkaitan tekanan bekalan air oleh syarikat pengeluar pam. Iklan ini menunjukkan perhubungan yang tidak erat antara jiran. Seorang yang mengalami tekanan air yang rendah dan kelihatan seperti kurang sihat. Seorang lagi jiran yang menggunakan pam ini kelihatan sihat mempunyai keluarga yang bahagia. Pada akhir iklan, pengguna digalakkan menggunakan pam ini untuk sentiasa bahagia. 

Mengikut undang-undang Malaysia, tiada sesiapapun dibenarkan untuk memasang sistem pam kepada paip utama (service main). Sistem pam hanya boleh dipasang selepas tangki simpanan air untuk bekalan paip dalaman sahaja. Isu tekan air yang rendah mesti ditangani oleh operator air dan bukannya syarikat pengeluar pam. Di bawah peraturan air baru, ia telah ditegaskan semula bahawa tiada sistem pam boleh dipasang ke sistem paip awam kecuali dengan kelulusan daripada pihak berkuasa. Pemasangan pam ini akan menyebabkan penurunan mendadak tekanan air pada sistem bekalan air awam. Melalui kajian lanjut yang dilakukan di laman web syarikat ini, kami mendapati terdapat brosur yang menggalakkan pengguna-pengguna untuk memasang pam sekiranya mereka menghadapi masalah tekanan air rendah walaupun pengguna menduduki bangunan bertingkat.

WECAM menasihati pengguna-pengguna supaya tidak memasang pam terus kepada sistem bekalan air utama untuk menyelesaikan masalah tekanan bekalan air rendah. Sekiranya terdapat kebocoran pada sistem perpaipan berdekatan dengan sistem pam anda, kotoran dari kawasan luar paip boleh tersedut masuk berdasarkan kapasiti pam. Ini akan mencemarkan bekalan air awam.

WECAM mengharapkan kementerian dan agensi-agensi berkaitan boleh mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas iklan yang mengelirukan. Kami menggalakkan pengguna-pengguna untuk membuat aduan ke atas aktiviti-aktiviti sebegini dan juga masalah tekanan air rendah di Pusat Khidmat Aduan Pengguna di 03-78779000 atau layari www.nccc.org.my untuk melakukan e-aduan.

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)