Kosmetik ditakrifkan sebagai bahan atau persediaan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh badan manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir, gigi dan rongga mulut untuk tujuan membersih, mewangi, mencantikkan kulit muka, menghilangkan bau badan, melindungi  atau menjaga dalam keadaan yang baik.

Di Malaysia, produk kosmetik adalah di kawal di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, ASEAN Cosmetic Directives (ACD) dan Guideline for Control of Cosmetic Product in Malaysia bagi menjamin produk kosmetik adalah berkualiti dan selamat kepada pengguna. 

Mulai tahun 2008, proses kawalan terhadap produk  kosmetik telah bertukar dari Sistem Pendaftaran kepada Sistem NOTIFIKASI.

Melalui sistem notifikasi, pihak syarikat perlu membuat notifikasi kepada pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) terlebih dahulu sebelum produk kosmetik tersebut boleh diimport, dikilangkan atau dipasarkan di Malaysia. 
Produk kosmetik yang telah dinotifikasi akan diberikan Nombor Notifikasi (NOT) sebagai bukti produk kosmetik tersebut telah bernotifikasi dengan pihak BPFK.

Semua maklumat dan formulasi produk kosmetik yang telah dinotifikasi oleh pihak syarikat akan disemak oleh pihak BPFK bagi memastikan produk kosmetik tersebut bebas dari bahan yang terlarang  dan digunakan dalam had yang dibenarkan serta mematuhi keperluan perundangan yang telah ditetapkan.

Pihak BPFK juga akan menjalankan Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi di Pasaran bagi memastikan produk-produk kosmetik di pasaran adalah berkualiti dan selamat kepada pengguna.

BAHAN-BAHAN YANG LAZIM DIGUNAKAN DI DALAM FORMULASI PRODUK KOSMETIK 


Sebagai pengguna, kita haruslah bijak dan berhati-hati semasa memilih produk kosmetik dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai bahan-bahan kimia yang lazimnya digunakan di dalam formulasi produk kosmetik kerana, kemungkinan bahan tersebut akan diserap melalui kulit. 

Pengguna dinasihatkan untuk membaca label produk dan mengambil perhatian terhadap label amaran terhadap  sesetengah bahan yang digunakan di dalam formulasi produk kosmetik bagi memastikan ianya adalah selamat untuk digunakan. 

Maklumat lanjut berkenaan bahan-bahan yang lazimnya digunakan di dalam formulasi produk kosmetik dan had serta syarat yang dibenarkan boleh diperolehi di dalam Guideline for Control of Cosmetic Product in Malaysia (sila rujuk laman web BPFK)

Berikut adalah contoh bahan–bahan kimia yang biasanya digunakan di dalam formulasi produk kosmetik.
A : Alphahydroxy acids atau AHA: merupakan bahan kimia yang dihasilkan secara semulajadi dan biasanya ditemui di dalam buah-buahan sitrus (citric acid), tebu (glycolic acid) dan susu (lactic acid).

Di dalam produk kosmetik, AHA biasanya digunakan sebagai skin-conditioning agent dan juga penimbang pH.

Produk kosmetik yang mengandungi AHA boleh menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif terhadap cahaya UV. 

Oleh yang demikian, bagi produk kosmetik yang mengandungi Glycolic acid dan/atau Lactic acid pada kepekatan ≥ 2.5% dan tidak mengandungi bahan penapis suria(sunscreen), maka produk kosmetik berkenaan perlu dilabelkan dengan label amaran sama ada perlindungan dari pendedahan kepada cahaya matahari atau penggunaan bersama produk penapis suria.

A : Ammonium lauryl sulfate:
 berfungsi sebagai bahan surfaktan iaitu agen pembersih. Bahan ini biasanya digunakan di dalam produk seperti syampu, pewarna rambut dan produk untuk mandian.

C : Collagen : merupakan gentian protein yang telah dihidrolisiskan yang digunakan secara meluas di dalam barangan kosmetik penjagaan muka dan rambut. Ia tidak boleh mengantikan kolagen yang telah hilang tetapi apabila disapukan pada kulit, ia hanya boleh melembapkan kulit.

F : Formaldehyde: digunakan sebagai bahan pengawet dalam formulasi produk kosmetik. Bahan ini hanya boleh digunakan pada had dan syarat yang dibenarkan sahaja. (sila rujuk lama web BPFK) 


G : Glycerin : 
merupakan agen humectants yang digunakan di dalam produk kosmetik seperti sabun, ubat gigi, produk penjagaan kulit dan rambut. Boleh didapati daripada sumber semulajadi dan sintetik.

L : Lanolin: digunakan sebagai pelincir permukaan kulit untuk  memberikan kesan penampilan kulit yang lembap dan licin.  Ia juga berfungsi sebagai emulsifier

Ia biasanya ditemui di dalam produk-produk penjagaan bayi, alat solekan (mata, bibir dan kening), produk penjagaan rambut dan penjagaan kuku tangan/kaki.

P : Paraben: merupakan bahan pengawet yang digunakan di dalam formulasi kosmetik yang mencegah pertumbuhan mikroorganisma/kulat semasa tempoh penyimpanan/ jangka hayat produk kosmetik.

Paraben yang lazimnya digunakan di dalam formulasi produk kosmetik ialah propylparaben, methylparaben, butylparaben, ethylparaben dan isobutylparaben

Bahan ini boleh digunakan di dalam formulasi produk kosmetik pada had yang dibenarkan sahaja. (sila rujuk lama web BPFK)

P : Mineral Oil: lazimnya digunakan di dalam formulasi produk kosmetik sebagai hair conditioning agent, skin conditioning agent, emollien dan bahan pelarut. 

Digunakan sebagai bahan untuk mencegah berlakunya pemisahan lapisan di antara minyak dan cecair di dalam produk  kosmetik. 

Penambahan bahan ini ke dalam formulasi produk kosmetik akan membantu produk-produk berminyak seperti lipstick, produk penjagaan bayi, alat solekan muka dan mata tidak mudah pecah dan tahan lama.

P : Parfum: merupakan bahan pewangi yang digunakan secara meluas di dalam produk kosmetik untuk menghasilkan bau yang menarik. 

Tiada had spesifik yang ditetapkan

P : Petrolatum: merupakan emollien yang tidak berwarna/kuning pucat  yang didapati secara meluas di dalam produk pencuci alat solekan, produk mandian dan produk penjagaan rambut. 

Emmolien ini akan membentuk satu lapisan penghalang di atas permukaan kulit untuk mengurangkan kehilangan air 

Petrolatum akan meningkatkan penampilan dan tekstur permukaan kulit, dan menyebabkan kulit menjadi lebih lembut dan licin.

P : Phthlates: merupakan bahan yang biasanya digunakan sebagai agen membentuk lapisan (film former) dan plasticizer terutamanya di dalam produk pewarna kuku bagi mengelakkan berlakunya pecahan/rekahan apabila produk digunakan pada  kuku. 

Terdapat pelbagai jenis phthlates yang biasanya ditemui di dalam formulasi produk kosmetik seperti diethyl phthalate dan polybutylene terephthalate. 

S : Sodium lauryl sulfate: merupakan agen pencuci dan agen pembuih yang digunakan secara meluas di dalam syampu, gel mandi dan ubat gigi. 

T : Titanium dioxide: digunakan sebagai agen pelindung cahaya matahari dan bahan pewarna di dalam produk kosmetik. Ia membantu untuk menyerap sinaran UV yang boleh menyebabkan kesan-kesan penuaan pada kulit

T : Triclosan: digunakan sebagai  bahan pengawet dan bahan anti  bakteria untuk mencegah sebarang pertumbuhan mikroorganisma / kulat semasa tempoh penyimpanan / jangka hayat produk kosmetik 

Sering digunakan dalam ubat gigi, produk untuk mencucui (sabun, pencuci tangan) dan produk antibakteria 

Bahan ini boleh digunakan di dalam formulasi produk kosmetik pada had yang dibenarkan sahaja. (sila rujuk lama web BPFK)

SEMAKAN STATUS NOTIFIKASI DAN MAKLUMAT LANJUT

Pengguna boleh menyemak status notifikasi produk kosmetik di laman web BPFK.

Pengguna boleh menaip Nombor Notifikasi atau nama produk kosmetik yang berkenaan. Sekiranya produk kosmetik tersebut telah dinotifikasikan, maklumat produk tersebut akan dipaparkan pada laman web BPFK.

Oleh itu, sebelum membeli sesuatu produk kosmetik, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dan bijak memilih produk kosmetik yang sesuai untuk kegunaan sendiri bagi memastikan produk kosmetik yang dibeli adalah berkualiti dan selamat untuk digunakan.

Pengguna dinasihatkan untuk melaporkan kepada pihak BPFK jika mengalami sebarang kesan yang tidak diingini akibat daripada penggunaan produk kosmetik seperti radang kulit, ruam serta kemerahan, kesan sensitiviti kulit dan sebagainya untuk siasatan lanjut.

Untuk sebarang maklumat lanjut sila hubungi:

Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan
Tel        : 03-78835400
Fax        : 03-79562924
Laman web    : http://www.bpfk.gov.my

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
Tel    : 03-78774741
Fax    : 03-78730636
Email        : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman web    : www.standardsusers.org

Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia