Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat memberi amaran tentang ubat baru yang baru dilancarkan. Ubat tersebut didakwa telah menyebabkan kerosakan hati. 

Pihak Berkuasa Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) mengatakan mereka telah menerima beberapa laporan tentang kerosakan hati yang disebabkan oleh tablet Multaq yang dikeluarkan oleh Sanofi-Aventis.

Dua kes berlaku pada pesakit yang telah menjalani pembedahan hati. Kedua-dua pesakit wanita itu berusia lebih kurang 70 tahun. Mereka telah mengambil ubat ini dalam tempoh antara 4 setengah bulan hingga 6 bulan.

FDA meluluskan kegunaan Multaq pada Julai tahun 2009 untuk merawat atrial flutter dan atrial fibrillation – degupan jantung luar biasa yang akan mengurangkan aliran darah dan mengakibatkan strok.

Dalam kenyataan media yang disiarkan melalui laman webnya, FDA memberikan amaran baru tentang kecederaan hati yang disebabkan oleh Multaq. Agensi tersebut meminta agar pesakit menghubungi doktor mereka jika mereka mengalami kecederaan hati termasuk kesan kemualan, muntah dan deman. Jika doktor mengesyaki tentang isu keracunan, mereka perlu berhenti daripada menggunakan ubat itu.

Keracunan hati merupakan kesan sampingan yang paling biasa yang dikaitkan dengan ubat.

Multaq telah meletakkan kenyataan amaran pada pembungkusan ubat tersebut dengan menyatakan bahawa ubat berkenaan akan mengakibatkan kesan yang serius, termasuk kematian pada pesakit yang mempunyai masalah berkaitan jantung yang teruk. Ubat ini tidak sepatutnya diambil oleh golongan pesakit ini.

Kesan sampingan yang biasanya dijumpai dalam tablet yang diambil sekali dalam tempoh dua hari itu:
- Keletihan
- Kehilangan kekuatan
- Cirit birit
- Kemualan
- Memuntah

Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dengan ubat Multaq keluaran Sanofi-Aventis, Sekiranya pesakit telah mengambil ubat ini dan mengalami simptom seperti dinyatakan,  laporkan segera kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia