Apakah yang dimaksudkan dengan penarikan balik produk?

Penarikan balik produk pengguna ialah pengeluaran produk dari pengedaran, penjualan atau dari digunakan oleh pengguna kerana tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah negara. 

Produk tersebut juga dikenal pasti mempunyai risiko yang boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan pengguna yang menggunakan produk tersebut.. 

Penarikan balik boleh meliputi pelbagai jenis produk seperti produk pengguna seperti barangan kegunaan dan perkakasan rumah, makanan, alat permainan, kosmetik, barangan farmaseutikal ,produk terapi, peralatan kebun dan kenderaan.

Apakah cabaran yang dihadapi berkenaan penarikan balik produk?
Walaupun terdapat negara-negara yang mewujudkan peraturan dan undang-undang yang menjadi panduan kepada peniagaan dalam mengendalikan penarikan balik produk , terdapat banyak negara lain yang tidak mempunyai dasar dan prosedur yang sama bagi membantu perniagaan atau melindungi pengguna. 

Ini menyebabkan berlakunya ketidakseragaman dan pendekatan yang tidak konsisten bagi penarikan balik produk pengguna di seluruh dunia dan ini mewujudkan jurang dalam perlindungan pengguna di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Adakah terdapat undang-undang di Malaysia yang mengarahkan penarikan balik produk oleh syarikat tersebut?
Sesebuah Organisasi di Malaysia  boleh mengendalikan penarikan balik produk secara sukarela walaupun produk tersebut tidak dikawal oleh undang-undang demi menjaga nama syarikat mereka.

Sebagai contoh, apabila berlakunya penarikan balik peralatan permainan di seluruh dunia pada 2007 apabila terdapatnya kandungan plumbum pada tahap yang berbahaya, maka syarikat multinasional di Malaysia seperti “Fisher-Price” dan “Mattel” juga telah bertindak menarik balik peralatan mainan secara sukarela

Namun begitu, disebabkan oleh tidak ada undang-undang yang mengawal selia peralatan permainan di Malaysia, syarikat pengedar dan pengimport alat permainan yang lain hanya berdiam diri sahaja. 

Penarikan balik produk secara sukarela oleh syarikat merupakan suatu perkara yang jarang atau kurang berlaku, terutamanya di Malaysia.

Bagaimana pula dengan peraturan di negara-negara lain mengenai penarikan balik produk?
Singapura mengenakan peraturan yang ketat terhadap kawalan risiko dalam produk dan perkhidmatan yang diimport oleh mereka. Sebagai contoh, sayur-sayuran yang diimport dari Malaysia, perlu melalui proses pemeriksaan yang ketat sebelum dibenarkan masuk ke dalam negara itu. Jika sampel produk tidak memenuhi keperluan keselamatan, ia dengan segera akan dihantar balik. Perkara ini sama di Thailand dan Indonesia.

Apakah yang dimaksudkan dengan  tindakan pembetulan?
Dalam dunia standard dan standardisasi, tindakan pembetulan merupakan  langkah yang diambil untuk mengalih punca kewujudan barangan yang tidak mematuhi standard dan peraturan atau situasi yang tidak diingini

Tindakan pembetulan dapat membantu dalam:

Meminimumkan risiko kemalangan terhadap pengguna dengan penarikan balik produk dengan segera.

Mendapatkan balik produk yang tidak mematuhi standard atau rosak.

Meminimumkan kos dan kesusahan bagi pengguna dan organisasi tersebut dalam penarikan balik produk.

Apakah undang-undang yang tertakluk dalam penarikan balik produk yang tidak selamat di pasaran?
Akta Makanan 1983, Akta Peraturan Makanan 1985, Peraturan Elektrik 1994, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Peraturan Keselamatan Kanak-Kanak, yang bakal diwujudkan kelak.  

Adakah terdapat perkembangan terbaharu dalam kawalan penarikan balik produk di Malaysia?

Jabatan Standard Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merupakan sekretariat bagi jawatankuasa antarabangsa (ISO PC 240 Product Recall)  yang sedang menjalankan kerja-kerja berkaitan dengan standard bagi tindakan pembetulan dan penarikan balik produk.

Banyak negara terutamanya negara-negara membangun dan negara-negara  kurang maju yang tidak mempunyai dasar penarikan balik produk.  Kerjasama seperti ini dapat membantu negara-negara ini mempunyai garis panduan untuk penarikan balik produk.

Standard bagi penarikan balik produk yang diwujudkan ini akan memberi satu panduan untuk pihak pengawal selia /pelaksana menghasilkan sistem tindakan pembetulan yang berkesan.Ia juga akan membantu syarikat pembekal dan pengedar untuk mewujudkan satu dasar yang serupa di syarikat mereka.

Nasihat kepada pengguna di Malaysia.

Sebagai pengguna di Malaysia, perlindungan diri adalah cara untuk maju ke hadapan yang memerlukan pembeli sentiasa bersikap peka terhadap barangan atau perkhidmatan yang mereka gunakan. Sekiranya terdapat sebarang penarikan nalik produk di pasaran dan disiarkan di media, diharap pengguna akan berwaspada atau menguhubungi pihak pihak seperti dibawah untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia