Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengadakan perbincangan dengan industri tentang penguatkuasaan standard keselamatan alat mainan kanak-kanak. Dalam perbincangan tersebut, pihak industri telah memohon agar penguatkuasaan untuk alat mainan tersebut ditangguhkan lagi.

Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Standard Keselamatan bagi Alat Mainan) 2009 telah diwartakan pada 30 Julai 2009 dan akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2010. Tetapi tempoh peralihan telah dilanjutkan sehingga 30 Julai tahun ini.

Selepas 1 Ogos, semua alat mainan yang baru atau diimport diwajibkan memohon Tanda Pematuhan Malaysia (MC Mark, Malaysian Conformity Mark). Sebarang alat mainan baru yang tidak memohon tanda ini tidak dibenarkan dijual di Malaysia.

Tanda pematuhan ini merupakan indikasi bahawa sesuatu barang yang dibekalkan atau dijual di Malaysia telah mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan dan selamat untuk dimainkan oleh kanak-kanak.

Namun, terdapat lagi stok alat mainan yang lama di pasaran yang pihak industri tidak dapat membekalkan sebarang laporan makmal bagi membuktikan pematuhannya kepada standard.

Stok lama ini tidak mempunyai label keselamatan iaitu Tanda Pematuhan Malaysia. Oleh itu status keselamatannya tidak diketahui.

Untuk memastikan keselamatan pengguna, pemantauan terhadap stok lama ini akan dilakukan oleh pegawai penguatkuasa KPDNKK. Jika alat mainan yang bahaya dan tidak mematuhi standard didapati, ia akan ditarik balik daripada pasaran.

Walau bagaimanapun, mengikut laporan berita yang disiarkan oleh akhbar Oriental Post pada 7 Julai 2010, KPDNKK bercadang akan melanjutkan tarikh penguatkuasaan ini bagi membolehkan pihak industri menghabiskan stok yang sedia ada. Jika lanjutan tempoh ini dibenarkan, maka alat mainan stok ini ini bukan sahaja tidak dapat menjamin keselamatan pengguna, tetapi akan mengakibatkan kes-kes kecederaan yang tidak diingini.

Oleh itu, alat mainan yang tidak mempunyai label MC sepatutnya dikeluarkan daripada pasaran. Ini disebabkan alat mainan tersebut tidak dibuktikan keselamatannya.

Pengguna mempunyai hak untuk keselamatan. Oleh itu menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjamin keselamatan pengguna dengan hanya membenarkan produk yang selamat sahaja dijual di Malaysia.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia