Tidak terdapat sebarang maklumat dan data keselamatan mengenai bahan kimia yang dikesani di dalam bijirin sarapan Kellogg yang ditarik balik daripada pasaran pada minggu lalu. 

Kellogg telah menarik balik 30 juta kotak bijirin sarapan daripada pasaran akibat pengeluaran bau yang tidak menyenangkan. Ramai pengguna telah jatuh sakit selepas menghidu dan makan bijirin sarapan itu.

Kajian makmal yang dilakukan gagal mengesan kehadiran sebarang bahan aditif makanan atau bahan daripada bungkusan makanan yang mungkin menjadi punca masalah untuk bau yang aneh ini. Namun, US Environmental Working Group, EWG telah mendapati bahawa bau dalam makanan itu berasal daripada bahan kimia, iaitu Methylnaphthalene.

Menurut US Environmental Protection Agency, EPA, Methylnaphthalene adalah kompenen daripada minyak mental dan tar arang batu. Selain itu, Methylnaphthalene juga produk sampingan yang dibentuk daripada pembakaran tambakau, kayu, petroleum dan arang batu.

Kompaun yang berasaskan petroleum ini dihasilkan di sebuah syarikat di Amerika Syarikat, tetapi agensi kesihatan di Amerika Syarikat tidak mengetahui tentang keselamatannya. Laporan EPA menyatakan syarikat ini beroperasi sejak tahun 1986, dan pengeluarannya di antara 1 juta hingga 10 juta pound setiap tahun. 

Pada tahun 1998, EPA mengelaskan bahan kimia ini sebagai kompaun yang dihasil dalam kuantiti besar (High Production Volume, HPV) tetapi kekurangan data keselamatan. Syarikat petroleum seperti BP, Chevron, Condea Vista, Exxon, Fina Oil, Koch, Marathon Ashland, Mobil Oil, PDV Midwest Refining, Phillips Petroleum, Shell dan Sunoco dengan sukarelanya telah membekalkan maklumat berkaitan. Namum, selepas 12 tahun, laman web tidak menunjukkan sebarang data daripada syarikat ini. 

Saintis EWG Dave Andrews menyatakan bahawa berjuta-juta pound bahan kimia ini dihasilkan setiap tahun. Ia telah digunakan dalam bahan bungkusan bijirin sarapan yang dipasarkan kepada kanak-kanak. Beliau berpendapat bahawa agensi persekutuan seperti EPA dan Food and Drug Administration, FDA perlu mengetahui semua risiko bahan petroleum termasuk bahan api fosil yang mungkin akan mengancam kesihatan manusia.

 

Sam Wong 
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia