Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah mengesan kandungan plumbum yang berlebihan dalam pil Zhongya Tzepao Sanpien. Ini dikesan daripada pemeriksaan berkala yang dilakukan oleh HSA ke atas produk kesihatan yang dijual di Singapura.

Pil Zhongya Sanpien dikilangkan di China, iaitu Yantai Zhongya Parmaceutical dan diedarkan di Singapura oleh Sea Gull Trading Pte Ltd.


Satu batch produk yang bernombor siri B/N 551001 telah diuji di makmal farmaseutikal HSA, dan mendapati kandungan plumbum di dalam produk tersebut melebihi tahap normal, iaitu sehingga 40ppm (parts per million).

Apabila seseorang terdedah kepada plumbum pada jangka masa yang lama, ia akan menyebabkan keracunan plumbum. Pada tahap kepekatan yang rendah, bagi kanak-kanak yang berumur satu hingga lima tahun, tanda-tanda awal yang ditunjukkan ialah rasa kurang selera makan. Masalah lain yang mungkin dihadapi ialah rasa gelisah, kerap muntah dan tidak minat bermain. Kesan yang lebih serius termasuk muntah-muntah yang berlarutan, rasa lemah urat saraf, sawan dan koma.

Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap Pil Zhongya Sanpien ini. Sekiranya nombor siri produk yang dilaporkan, iaitu 551001 ada dijual di pasaran Malaysia dan mereka yang mengambil pil ini mengalami kesan sampingan seperti yang dinyatakan, maka mereka hendaklah melaporkan kepada pihak berkuasa Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

13 Mei 2010