Hasil daripada kajian yang dilakukan oleh Sekolah Perubatan Mount Sinai, New York, menunjukkan bahawa seseorang wanita yang terdedah kepada phenols, phthalates dan phytoestrogens akan mengalami masalah pembangunan balighnya. Ini memberikan risiko yang besar pada kesihatan mereka pada masa hadapan.

Kajian ini juga mendapati bahawa tahap baligh wanita yang awal akan mendatangkan kesan-kesan sosial dan kesihatan. Di samping itu, ia akan menyebabkan penyakit yang serius pada golongan wanita, seperti penyakit diabetis dan kanser.


Walaupun banyak penyelidikan diperlukan, tetapi data ini merupakan langkah pertama yang penting dalam menilai kesan daripada unsur-unsur yang diperkatakan akan menjejaskan kesihatan wanita.

Phenols, phthalates dan phytoestrogens merupakan bahan kimia pengganggu endokrin, yang boleh mempengaruhi sistem endokrin dalam badan. Sistem endokrin merupakan suatu sistem yang mengawal perasaan, pertumbuhan dan perkembangan seseorang, fungsi tisu dan metabolisme badan. Selain itu, ia juga berfungsi untuk mengawal seksual dan proses reproduksi.

Ketiga-tiga bahan kimia ini boleh didapati dalam produk kegunaan seharian pengguna, sebagai contoh, di dalam pewarna kuku untuk menambahkan daya ketahanan, manakala kewujudannya dalam kosmetik, minyak wangi, losen dan syampu bagi menimbulkan keharuman.

Di samping itu, phenols, phthalates dan phytoestrogens juga digunakan untuk meningkatkan sifat keanjalan dan daya tahanan dalam plastik seperti PVC, atau digunakan sebagai lapisan dalam perubatan, dan sebagai agen time-release dalam suplemen pemakanan.

Dr. Wolff dan Profesor Madya Susan Teitelbaum serta pasukan penyelidikan daripada Jabatan Pediatri dan Mikrobiologi, Sekolah Perubatan Mount Sinai dengan kerjasama Hospital Kanak-Kanak Cincinnati, telah meminta sekumpulan wanita daripada komuniti East Harlem untuk kajian terhadap pendedahan terhadap bahan kimia tersebut.

Penyelidik telah mengumpul air kencing daripada kumpulan sasaran ini. Air kencing ini diuji untuk mengesan phenols, phthalates dan phytoestrogens. Seramai 1,151 wanita dari New York, Cincinnati dan California terlibat dalam projek ini.

Data menunjukkan terdapat tiga kelas bahan kimia telah dikesan dalam air kencing wanita-wanita yang dikaji itu. Phthalates dan phytoestrogen menunjukkan kadar pendedahan yang paling tinggi.

Bahan-bahan kimia yang terdapat dalam tubing plastik yang berkaitan dengan pembangunan baligh. Manakala, produk peribadi seperti losen dan syampu, khususnya yang mempunyai kewangian, mengandungi phthalates yang akan mengakibatkan pembangunan baligh yang awal pada wanita.

Para penyelidik percaya bahawa dalam tempoh tertentu, pendedahan kelenjar mamalia kepada bahan-bahan kimia ini adalah berbahaya, dan adanya risiko untuk mengakibatkan kanser apabila seseorang itu dewasa. Walau bagaimanapun, corak diet seseorang juga mempunyai kesannya. Oleh itu, kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengetahui fakta yang sebenar.

Kesimpulannya, Dr Wolff berpendapat bahawa pendedahan kepada phenols, phthalates dan phytoestrogens adalah sesuatu yang biasa bagi orang ramai. Walaupun kaitan di antara bahan kimia ini dengan pembangunan baligh seseorang mungkin dianggap sebagai remeh, tetapi impaknya kepada manusia adalah jelas.

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
11 Mei 2010