Sejak kebelakangan ini, penggunaan telefon bimbit set AP berleluasa dalam kalangan  pengguna tanpa menyedari kelemahannya. Pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli telefon bimbit set AP kerana ia dijual oleh pengedar yang tidak sah. Set AP diedarkan oleh pengedar yang tidak diiktiraf oleh pengeluar jenama tersebut manakala set ORI pula diedarkan oleh pengedar yang diiktiraf oleh pengeluar. Pengedar yang tidak sah ini mendapat set telefon bimbit AP dari sumber dalam negara dan luar negara.

Telefon bimbit set AP tidak mempunyai waranti daripada pengeluar jenama sah tersebut. Jikalau terdapat kerosakan atau memerlukan perkhidmatan servis untuk membaiki telefon bimbit, pengguna tidak dapat merujuk kepada pengedar jenama sah kerana warantinya diberikan oleh pengedar yang tidak sah.


Pengguna perlu menyedari bahawa telefon bimbit daripada pengeluar jenama sah menggunakan teknologi tinggi dan terbaru untuk membuat bahagian-bahagian dalamannya. Perkhidmatan membaiki kerosakan memerlukan kepakaran tertentu yang tidak dimiliki oleh pengedar tidak sah. Pengguna yang membeli set AP daripada pengedar tidak sah tidak dapat menggunakan perkhidmatan daripada pengedar jenama sah. Oleh itu kerosakan tersebut tidak dapat diperbaiki. Tambahan pula, ada pengedar yang tidak sah yang mengeluarkan bahagian-bahagian tulen daripada telefon bimbit dan mengantikannya dengan bahagian yang palsu. Kegiatan tersebut tidak disedari oleh pengguna semasa membeli set AP.

Menurut Seksyen 8, Akta Perlindungan Pengguna 1999, pengedar tidak sah diwajibkan memahami kegiatan mereka dan telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang. Seksyen tersebut bertujuan untuk membanteras aktiviti-aktiviti seperti salah mengerti dan perbuatan penipuan, representasi palsu dan perniagaan secara tidak adil. Jika pengedar yang tidak sah melakukan sebarang kesalahan, ia  boleh dikenakan denda tidak melebihi Ringgit Malaysia Dua Ratus Lima Puluh Ribu dan untuk perbuatan kali kedua atau selanjutnya denda sebanyak tidak melebihi Ringgit Malaysia Lima Ratus Ribu boleh dikenakan.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menasihatkan kepada pengguna agar menghindarkan diri daripada membeli telefon bimbit set AP. Sering kali pengguna tidak memikirkan tentang kualiti yang baik apabila membeli sesuatu barangan, malah terpedaya dengan harga yang rendah. Adakalanya pengedar tidak sah memberi gambaran salah tentang waranti telefon bimbit tersebut terus daripada pengeluar jenama sah, tetapi sebenarnya tidak sedemikian.

NCCC banyak menerima aduan tentang set AP. Antara Januari hingga awal 2010, NCCC telah menerima 124 aduan daripada pengguna. 

Vasudavan Perumal
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
7 Mei 2010