Kerepek Kentang  berjenama terkenal “Lay’ Potato Chip” telah ditarik balik daripada pasaran Kanada kerana disyaki telah dicemari oleh bakteria salmonella. Menurut pengumuman yang dibuat oleh agensi Canadian Food Inspection pada 15 Mac yang lalu,  kentang goreng yang berperisa “smoky bacon” itu mengandungi lemak sayuran dihidrolisis (HVP) yang telah rosak. Lemak sayuran dihidrolisis merupakan sejenis perisa yang dibuat di Amerika Syarikat.


Penarikan balik ini adalah bagi pembungkusan  43gram yang mengandungi label “fresh until” bertarikh 23 Mac hingga 4 Mei 2010, bungkusan 235gram, dan bungkusan penuh bertarikh 23 Mac hingga 27 April.  HVP yang rosak ini telah menyebabkan 55 produk telah ditarik balik daripada pasaran Kanada. Manakala di Amerika Syarikat pula, sebanyak  140 produk telah ditarik balik pada 21 Januari 2010. 

Biarpun begitu, syarikat di Kanada masih belum menarik balik produk daripada pasaran sehingga Canadian Food Inspection telah mengarahkannya supaya menghentikan penjualan dan menarik balik produk di pasaran.

Makanan yang dicemari oleh bakteria salmonella tidak mempunyai bau atau keadaan yang menunjukkan berlakunya kerosakan. Namun jika ia dimakan, boleh menyebabkan penyakit salmonellosis. Bagi kanak-kanak, warga tua dan individu yang mempunyai tahap keimunan yang lemah, salmonellosis boleh menyebabkan kesan-kesan yang serius.  Ia boleh menyebabkan jangkitan yang membawa kepada kematian. Simtom-simtom lain adalah demam, muntah, cirit birit dan sakit perut.

Pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli kerepek kentang ini sekiranya terdapat di pasaran di Malaysia. Laporkan sebarang penjualan produk ini kepada pihak berkuasa atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-78779000.

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia.
17 Mac 2010