Penyelidikan yang dilakukan oleh bahagian penguatkuasa kesihatan di Negara China mendapati bahawa agen pemutih yang digunakan dalam pemprosesan tepung telah dicampur dengan sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai pulverized lime. Pulverized lime adalah sejenis bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan seseorang.

Sampel tepung telah dikumpul dan ujian yang dijalankan menunjukkan bahawa tepung itu mengandungi 30% pulverized lime. Pulverized lime ini digunakan dalam agen pemutih yang dihasilkan oleh Yuzhong Food Additive Company di Rugao, China Barat.


Agen pemutih yang biasa digunakan dalam industri tepung merupakan campuran benzoil peroksida dan tepung jagung. Penggantian tepung jagung dengan pulverized lime adalah bertujuan untuk mengurangkan kos pengeluaran.

Pulverized lime merupakan bahan kimia yang tidak boleh dimakan, dan akan mengakibatkan kerosakan paru-paru secara berperingkat dan akan memusnahkan keseluruhan sistem respirasi.

Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati semasa menggunakan tepung keluaran China ataupun produk keluaran China seperti mi, bebola dan kuih pau. Sekiranya terdapat sebarang rasa atau bau yang aneh pada produk tersebut, laporkan kepada pihak berkuasa Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan di talian 03-8885 0600 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
15 April 2010