Jabatan Kastam dan Cukai Hong Kong telah melarang penjualan puting kanak-kanak berjenama “Gino” kerana produk ini mengandungi bahan-bahan yang boleh menyebabkan kanser. Puting kanak-kanak jenama ini mengandungi N-nitrosomorpholine yang berlebihan.

Pegawai Jabatan tersebut telah membuat pemeriksaan di kedai-kedai yang menjual produk kanak-kanak dan mendapati bahawa puting kanak-kanak jenama “Gino” ini tidak selamat untuk digunakan. Produk ini juga gagal memenuhi keperluan amaran pada pembungkusannya.


Kajian yang dilakukan ke atas haiwan mendapati pendedahan pada N-nitrosomorpholine akan menyebabkan penyakit pada hati dan organ-organ lain, antaranya seperti pertumbuhan tumor pada paru-paru, hidung dan ginjal.

Pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli puting kanak-kanak jenama “Gino” ini sekiranya terdapat di pasaran di Malaysia. Laporkan sebarang penjualan produk ini kepada pihak berkuasa atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
5 April 2010