Pada 25 Mac 2010, Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna (Consumer Product Safety Commission – CPSC) dan Health Canada telah mengeluarkan arahan untuk menarik balik barangan kanak–kanak, iaitu Wooden gates.

Wooden gates ialah pintu pagar yang dibuat daripada kayu bagi menghalang kanak-kanak daripada menaiki tangga. Wooden gates tersebut dikeluarkan oleh syarikat Miamisburg, OH-Evenflo Co.Inc. Menurut CPSC, pintu pagar tersebut boleh terbuka atau patah, yang boleh menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak kecil.


Syarikat Miamisburg, OH-Evenflo Co.Inc ini telah menerima 142 laporan mengenai pintu pagar yang patah dan tertanggal. Seramai tiga orang kanak-kanak kecil dilaporkan telah melepasi pintu pagar itu dengan mudah. Seorang kanak-kanak telah terjatuh lima anak tangga. Kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak tersebut adalah hentakan kuat pada kepala, calar dan lebam.

Sebanyak 150,000 Top of Stairs Plus Wood Gates ini telah ditarik balik daripada pasaran Amerika Syarikat dan 33,000 lagi telah ditarik balik secara sukarela di pasaran Kanada. Nombor kumpulan pengeluaran (batch) yang telah ditarik balik adalah 10512 dan 10502 yang boleh didapati pada pelekat di bahagian bawah produk tersebut.

Pengguna di Malaysia adalah dinasihatkan supapa berhati-hati apabila ingin membeli produk ini di pasaran. Laporkan dengan segera kepada Persatuan Pengguna–Pengguna Standard Malaysia di talian 03-78774741 atau di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-78779000, jika terdapat produk Wood gates yang bernombor kumpulan pengeluaran (batch) yang telah ditarik balik itu.

Mohana Priya
Persatuan Pengguna – Pengguna Standard Malaysia