Tekad berhenti merokok dalam tempoh 60 minit sekalipun memberikan banyak manfaat kesihatan. Sepanjang tempoh itu, perokok berpeluang memperoleh proses membina sel tisu baharu, meningkatkan perjalanan saraf periferal, menurunkan degupan jantung dan menurunkan tekanan darah.

Manakala perokok yang berhenti merokok dalam tempoh 12 jam pula, akan kembali normal dan tidak berhalusinasi. Ini berikutan kandungan karbon monoksida dalam darah mula hilang sedikit demi sedikit.

Keazaman berhenti merokok dalam tempoh dua hari dan seterusnya, berupaya menyingkirkan nikotin dalam sistem badan, meningkatkan deria rasa dan bau. Selain itu, bekas perokok berupaya mengurangkan risiko serangan angin ahmar (strok)seperti orang yang tidak pernah merokok, mengurangkan kematian akibat kanser paru-paru, kanser mulut, kanser esofagus, kanser buah pinggang atau serangan jantung.

 

Statistik dikeluarkan The Tobaco Atlas, berpangkalan di Amerika Syarikat, menyatakan sejumlah 4.1 juta dewasa dan 126,000 kanak-kanak menggunakan tembakau setiap hari.

 

Lima Juta Mati Setahun

Dari jumlah itu, dianggarkan lima juta orang diseluruh dunia mati akibat penyakit berkaitan rokok setiap tahun.

Perunding dan Pakar Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Nurhayati Mohd Marzuki, berkata populasi masyarakat tempatan yang merokok meningkat setiap tahun dengan angka dicatatkan pada tahun 2013 sekitar 29.7 juta orang.

Beliau berkata, pola merokok menggunakan rokok elektronik meningkatkan bilangan perokok wanita dengan peratusan satu daripada tiga orang akan merokok di rumah, dan dua daripada tiga orang pula akan merokok di restoran.

“Setiap tahun, aktiviti merokok membunuh kira-kira 19,100 rakyat tempatan dengan nisbah kematian 19 peratus lelaki dan lapan peratus wanita.

“Angka kematian lelaki akibat merokok di negara ini sama dengan negara dunia ketiga, namun peratusan kematian perokok wanita adalah lebih tinggi berbanding di negara dunia ketiga.

“Ini bermakna wanita berisiko tinggi terhadap kesan merokok berbanding lelaki,” katanya.

Dr Nurhayati menjelaskan kanser paru-paru menjadi serangan kedua tertinggi menyerang lelaki, iaitu kanser paling kerap ditemui ketika diagnosis 2,100 pesakit baru setiap tahun.

 

Edar Kit Percuma

Satu daripada 10 perokok membina kanser paru-paru, manakala sebanyak 90 peratus punca berlaku kanser paru-paru disebabkan aktiviti merokok.

Selain itu, katanya sebanyak 39.8 peratus dewasa (46 peratus lelaki dan 30 peratus wanita) yang bekerja di luar pejabat terdedah kepada asap rokok di tempat kerja.

Golongan tidak merokok yang terdedah kepada asap rokok tidak terkecuali berdepan masalah kesihatan. Penyelidikan mendapati sekitar 25 sehingga 30 peratus lebih tinggi risiko mendapat serangan jantung berbanding mereka yang tidak terdedah asap rokok.

Sehubungan itu, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM) dengan Pfizer Malaysia melancarkan kempen berhenti merokok, Quit Like A Champ! Kepada 100 perokok yang bertekad meninggalkan ketagihan merokok.

Menerusi kempen berkenaan, sebanyak 100 kit berhenti merokok percuma diberi  kepada perokok yang sanggup berhenti merokok. Kit berkenaan mengandungi ubat terapi oral, buku panduan dan kad sokongan berhenti merokok yang boleh digunakan di klinik berhenti merokok di Lembah Klang serta bebola tekanan.

Kempen berkenaan turut menghasilkan filem web selama lima minit memaparkan pemain martial arts campuran, Peter Davis.

 

Dr Nurhayati Mohd Marzuki,

Perunding dan Pakar Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur

Sumber : Berita Harian – Sihat – (23 November 2015, Isnin)