Menurut laporan mengenai keselamatan dan keberkesanan e-rokok dalam pemberhentian tabiat merokok belum dipastikan. Laporan rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan dengan jelas e-rokok tidak bebas dari pada bahan toksikdan tidak diluluskan sebagai ‘selamat’ untuk digunakan.

Keberkesanannya sebagai alat berhenti merokok belum dinilai secara sistematik. Bukti mengenai keberkesanan e-rokok sebagai bahan berhenti merokok adalah terhad.

 

 

Risiko Penggunaan e-Rokok

Sejak kebelakangan ini lebih banyak penemuan penyelidikan mengenai risiko penggunaan e-rokok, antaranya :

• Wap e-rokok boleh mengandungi penyebab kanser formaldehid pada tahap sehingga 15 kali lebih teruk dari rokok biasa. Penemuan ini diterbitkan New England Journal of Medicine.

• Jabatan Sains Kesihatan Alam Sekitar, Universiti Johns Hopkins mendakwa wap e-rokok memberi kesan kepada paru-paru, termasuk keradangan dan kerosakan protin.

• The American Lung Association mendapati kajian awal menunjukkan bahawa e-rokok mengandungi nikotin dan bahan kimia berbahaya lain termasuk karsinogen. Satu kajian pada tahun 2014 mendapati e-rokok dengan tahap voltan lebih tinggi menghasilkan formaldehid lebih tinggi.

• Pakar kesihatan memberi amaran bahawa e-rokok menyebabkan remaja empat kali lebih cenderung beralih kepada rokok konvensional. Kajian ini diterbitkan dalam JAMA Pediatrics.

Menurut Jabatan Kesihatan California, e-rokok memanaskan cecair yang biasanya mengandungi nikotin, perasa, bahan tambahan dan propileno glikol. E-cecair yang dipanaskan membentuk aerosol (wap) yang disedut pengguna.

Aerosol didapati mengandungi bahan kimia toksik seperti formaldehid, plumbum, nikel, dan asetaldehid. Semuanya adalah bahan kimia yang diketahui menyebabkan kanser, kecacatan kelahiran dan bahaya kepada fungsi reproduktif lain.

Bahan kimia ini mengalir melalui sistem peredaran darah ke otak dan semua organ. Aerosol ini juga mengandungi kepekatan tinggi zarah halus yang dihidu dan terperangkap dalam paru-paru.

Satu laporan Persatuan Onkologi  Klinikal Amerika Syarikat menyatakan analisis FDA Amerika Syarikat mendapati cecair digunakan dalam e-rokok mengandungi bahan kimia toksik yang terdapat dalam bahan antibeku dan beberapa bahan kimia penyebab kanser seperti nitrosamines.

Tidak banyak maklumat diketahui mengenai jenis atau kepekatan bahan kimia, termasuk nikotin dalam e-rokok.

E-cecair boleh didapati dalam pelbagai perisa gula-gula dan buah-buahan termasuk gula-gula getah, ceri dan coklat yang secara khusus menarik minat belia dan kanak-kanak yang sengaja boleh menelannya.

 

Kesan Buruk ‘Vaping’

Masyarakat ‘vaping’ mengabaikan risiko pengambilan (telan) dengan tidak sengaja walaupun sedikit e-cecair boleh membawa maut kepada kanak-kanak. Katrij e-rokok mudah bocor dan tidak dilengkapi dengan penutup untuk keselamatan kanak-kanak yang mewujudkan punca potensi keracunan.

Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) melaporkan bilangan panggilan ke pusat racun membabitkan e-cecair meningkat dari satu kes sebulan pada tahun 2010 ke 215 kes sebulan pada tahun 2014. Lebih dari separuh panggilan ke pusat racun mengenai cecair yang membabitkan kanak-kanak bawah umur lima tahun.

Kegiatan vaping membiasakan (renormalise) tabiat merokok. Ini mempunyai potensi melancarkan kembali tahun usaha kempen antimerokok Kementerian Kesihatan Malaysia dan pergerakan kawalan tembakau untuk mendidik orang ramai mengenai bahaya merokok.

Selain itu ia akan menimbulkan masalah penguatkuasaan di tempat awam yang sudah mempunyai zon larangan merokok ditubuhkan.

Industri farmaseutikal yang biasanya menggalakkan pelbagai peranti berhenti merokok tidak menghasilkan e-rokok sebagai peranti pemberhentian merokok.

Banyak negara mengharamkan penjualan e-rokok iaitu Brunei, Thailand, Kemboja, Singapura, Argentina, Bahrain, Brazil, Colombia, Greece, Jordan, Kuwait, Lubnan, Lithuania, Mauritius, Mexico, Nepal, Nicaragua, Panama, Qatar, Saudi Arabia, Seychelles, Surinam, Turki serta Emiriah Arab Bersatu dan Uruguay juga Oman dalam proses mengharamkan e-rokok.

Jepun dan Australia mengharamkan e-rokok dengan nikotin. Keputusan bagi Malaysia adalah jelas bagi e-rokok perlu diharamkan.

 

Penulis : Muhammad Sha’ani Abdullah, Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Sumber : Berita Harian – (14 Oktober 2015, Rabu)