Lebih daripada 6,000 orang perokok telah didenda kerana merokok di zon larangan merokok. Undang-undang yang lebih ketat akan diambil ke atas mereka yang merokok di zon larangan merokok. Tetapi, ini memerlukan tindakan penguatkuasaan yang berkesan untuk mengurangkan perokok yang merokok di tempat awam. 

Kajian menunjukkan bahawa tiada paras yang selamat untuk perokok pasif. Larangan merokok di tempat kerja, pengangkutan awam dan tempat awam tertutup masih belum mencukupi untuk memastikan perokok mematuhnya. Masih terdapat ramai menghisap rokok dengan bebas di tempat awam sama ada yang tertutup atau di stesen bas atau di dalam kedai makan, siber kafe dan di tepi jalan. 

Orang ramai masih tidak menghiraukan papan tanda yang menunjukkan tentang larangan merokok. Pekedai-pekedai juga patut bertanggungjawab untuk melarang pelanggan menghisap rokok di dalam premis mereka.

Kerajaan telah mengambil inisiatif dengan memenuhi keperluan di dalam perjanjian global Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) dengan mengambil beberapa langkah untuk mencegah tabiat merokok. Antara langkah yan dilakukan adalah mewujudkan label amaran bergambar di kotak-kotak rokok yang menunjukkan kesan-kesan buruk merokok.

Tetapi, langkah itu sahaja tidak mencukupi jika tiada penguatkuasaan yang ketat dilakukan. Hukuman yang berat harus dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan menjual rokok kepada remaja di bawah umur 18. Golongan ini perlu dilindungi daripada pengaruh rokok. 

Walaupun menjual rokok secara paket terbuka dilarang bawah FCTC (2004), tetapi masih banyak restoran atau kedai runcit yang menjual rokok secara paket terbuka, terutamanya di kawasan luar bandar. Peniaga perlu dididik bahawa menjual rokok secara paket terbuka ini merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada.  

Penyeludupan rokok haram patut dibanteras daripada negara ini. Pegawai kastam hendaklah bekerjasama dengan pihak penguatkuasa negara jiran terutama di sempadan negara untuk mengawal aktiviti penyeludupan rokok haram tersebut. 

Selain itu, klinik kesihatan di seluruh negara perlu menyediakan perkhidmatan untuk berhenti merokok. Ini dapat dilakukan dengan menubuhkan klinik berhenti merokok di semua hospital, klinik kerajaan dan klinik swasta. Perkhidmatan ini akan memberikan bantuan dan cara-cara tentang berhenti merokok. 

Selain daripada label pada kotak rokok, kegiatan pemasaran syarikat rokok juga perlu dikawal. Semua jenis iklan, promosi dan tajaan syarikat rokok hendaklah dilarang. Kegiatan pemasaran rokok yang tidak beretika perlu diawasi. Teknik pemasaran ini mempunyai pengaruh yang ketara terhadap orang ramai, terutama golongan muda sehingga mengakibatkan tabiat ketagih dalam kalangan mereka. Di samping itu, kandungan dalam produk tembakau juga perlu dikawal untuk mengurangkan kesan buruk kepada perokok. 

Pendidikan merupakan jawapan kepada perokok untuk berhenti merokok. Golongan remaja adalah sasaran yang perlu diberikan tumpuna untuk menjauhkan mereka daripada rokok. Kempen ‘Tak Nak’ yang dijalankan oleh kerajaan perlu mempunyai kesan ke atas kesedaran orang ramai akibat buruk merokok.  Kempen ini hendaklah diperluaskan. 

Satu program yang berterusan patut diwujudkan dalam usaha mengurangkan bilangan perokok di negara ini. Aktiviti yang lebih sihat seperti karnival sukan patut dijalankan di bawah program ini untuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan remaja dan menjauhi diri mereka daripada rokok. Kesan-kesan buruk dan bahaya merokok perlu ditanam dalam minda mereka supaya mereka takut untuk merokok.

Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)