Syarikat insurans sering mengamalkan penolakkan tuntutan insurans perubatan, walaupun pemilik insurans telah menjalani ujian perubatan seperti yang diminta oleh syarikat insurans tersebut.

Walaupun laporan perubatan tidak menyatakan apa-apa penyakit semasa menandatangani polisi mereka, masalah akan timbul apabila mereka ingin membuat tuntutan daripada syarikat insurans. Syarikat insurans tidak akan bergantung kepada laporan perubatan sahaja, tetapi mereka akan membuat pemeriksaan di klinik-klinik yang berdekatan dengan rumah pemilik polisi untuk mendapatkan sejarah perubatan mereka. Tujuan utama syarikat insurans berbuat sedemikian adalah untuk mencari alasan bagi menolak tuntutan tersebut..

Persoalannya, mengapa syarikat insurans tidak membuat pemeriksaan ketika menerima permohonan membuat insurans kesihatan. Apa gunanya laporan perubatan jika ia tidak boleh dijadikan sebagai rujukan utama untuk membuat tuntutan?

Sering kali pemilik polisi terkejut apabila diberitahu oleh syarikat insurans bahawa beliau tidak layak untuk membuat tuntutan kerana menghidap penyakit dan gagal memaklumkan masalah kesihatan ketika mengisi borang memohon insurans. Sedangkan laporan perubatan menyatakan pemilik insurans berkeadaan sihat. 

Pengguna sememangnya bertanggungjawab untuk memberitahu masalah kesihatannya kepada syarikat insurans. Mereka tidak boleh memberi maklumat palsu hanya semata-mata untuk membeli insurans kesihatan. 

Sekiranya syarikat insurans bimbang pengguna memberikan maklumat palsu, mereka perlu meminta pengguna memberikan laporan perubatan daripada hospital kerajaan.

Syarikat insurans tidak sewajarnya hanya mementingkan keuntungan apabila menggalakkan pengguna memiliki polisi insurans kesihatan, tetapi apabila pengguna ingin membuat tuntutan, mereka mula berdolak-dalik untuk tidak mahu membayar tuntutan tersebut. 

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)