Jabatan Kesihatan Hong Kong telah mengisytiharkan penarikan balik Pil Po Chai yang dikilangkan oleh Li Chung Shing Tong (Holdings) Ltd HK. Penarikan balik ini melibatkan Pil Po Chai jenis kapsul dan botol

Pihak berkuasa Kesihatan Hong Kong telah mengesan bahan kimia phenolphthalein dan sibutramine di dalam Pil Po Chai jenis kapsul. Phenolphthalein digunakan sebagai penunjuk asid-bes, pewarna dan laksatif.

 

Oleh sebab sifatnya yang bertoksik, maka penggunaannya boleh membahayakan kesihatan. Sibutramine pula boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pening kepala, sembelit, pedih ulu hati, mulut kering, lemah badan, sakit belakang, cemas, perubahan selera makan, muka menjadi merah, gejala selesema dan kesakitan semasa datang haid.

Jabatan Kesihatan Hong Kong menarik balik dua kumpulan pengeluaran (batch) yang telah dipasarkan iaitu Batch No 21217 dan Batch No 21133 kerana kedua-duanya dihasilkan daripada punca pencemaran yang sama. Kedua-dua kumpulan pengeluaran ini telah diekspot ke Macao, Hong Kong dan Singapura.

Sehingga kini, masih belum terdapat sebarang laporan berkaitan kesihatan tentang Pil Po Chai. Namun begitu, arahan penarikan balik Pil Po Chai ini merupakan langkah pencegahan untuk melindungi kesihatan masyarakat, kerana produk-produk ini digunakan secara luas dan umum dalam kalangan masyarakat tempatan, terutamanya kanak-kanak dan orang tua.

Pengguna dinasihatkan supaya memeriksa pek Pil Po Chai yang dibeli. Sekiranya nombor kumpulan pengeluaran adalah sama seperti nombor yang ditarik balik, maka mereka hendaklah melaporkan kepada pihak berkuasa, iaitu Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia