Mengikut laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Environmental Program, UNEP), air kotor akan menyebabkan kematian kanak-kanak pada kadar yang lebih tinggi daripada peperangan.

Dalam sebuah kajian bertajuk “Sick Water” yang dikeluarkan semasa Hari Air Sedunia, UNEP melaporkan bahawa kekurangan air bersih menjadi punca bagi kematian 1.8 juta kanak-kanak berusia kurang daripada 5 tahun. Mereka terpaksa bergantung pada air kotor yang tercemar untuk kehidupan harian.


Berdasarkan laporan UNEP ini, setiap hari, 2 juta tan kumbahan yang dikeluarkan akan mencemarkan 2 billion tan air bersih dan meninggalkan “zon mati” di lautan. Akibatnya, pencemaran ini telah membunuh terembu karang, ikan-ikan dan hidupan lautan yang lain.

Kumbahan ini, sebahagian besar adalah sisa pembentungan, sisa industri, sisa racun perosak daripada sektor pertanian serta sisa haiwan daripada sektor peternakan. Kebanyakan sisa ini dihasilkan oleh negara-negara sedang membangun dan disalur ke dalam laut tanpa sebarang rawatan, mencemarkan punca air bersih dan hidupan di dalamnya.

Air kotor ini telah menjadi media bagi pembiakan dan penyebaran pelbagai penyakit, sebagai contoh cirit-birit akibat pencemaran air dan makanan membunuh 2.2 juta orang setiap tahun.

UNEP mengesyorkan bahawa sistem kitar semula air dan sistem rawatan pembentungan yang berkesan perlu dibina bagi meningkatkan kualiti air bersih di negara-negara sedang membangun.

Selain itu, UNEP juga menyaran agar tanah limbah yang merupakan sistem tapisan semulajadi dilindungi, sisa haiwan dijadikan baja organik dan mengurangkan penggunaan racun perosak.

Mengikut Pengarah UNEP, Achim Steiner, jika kita hendak melindungi bumi ini yang akan mempunyai populasi 9 billion orang pada tahun 2050 berbanding dengan 6 billion orang sekarang, rakyat bumi ini perlu bertindak secara proaktif dalam pengurusan air limbah.

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia