What causes inflation? | Stanford NewsPUTRAJAYA: Kerajaan mengambil pendekatan untuk mengawal kadar inflasi bagi memastikan ‘runaway inflation’, atau peningkatan inflasi yang meningkat secara drastik dan tidak terkawal daripada berlaku, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau mengambil maklum tentang kritikan beberapa pihak bahawa kadar inflasi negara telah mereda kepada dua peratus, tetapi tidak dicerminkan daripada realiti harga barangan yang masih tinggi.

Jelas beliau, langkah kerajaan dalam memperkenalkan dasar gaji progresif bagi sektor awam dan swasta merupakan salah satu usaha untuk mengawal keseimbangan inflasi.

“Sebab itu apabila kita merangka sesuatu langkah, kita mengambil perhatian khusus tentang kesannya kepada inflasi nanti supaya kita mendapat keputusan terbaik, untuk memastikan keseimbangan antara kadar inflasi yang boleh diterima, dan pada masa sama kita dapat melihat kenaikan yang pantas dari segi pendapatan isi rumah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kadar inflasi Malaysia pada bulan Julai 2023 terus mereda kepada 2.0% berbanding 2.4% pada bulan Jun 2023, mencatatkan penurunan 11 bulan berturut-turut.



Mengulas lanjut mengenai kadar inflasi terendah negara dalam tempoh setahun itu, Rafizi berkata, kerajaan berharap dapat mengekalkan momentum untuk bulan-bulan seterusnya.

“Pencapaian yang perlu kita teruskan ialah trend ini berterusan selama 11 bulan berturut-turut, bermakna risiko kenaikan harga barang yang menyebabkan masalah kos sara hidup seperti kita lihat tahun lepas, kini semakin berkurangan.

“Jadi sebuah ekonomi yang mampan, yang pertumbuhan ekonominya robust ialah sebuah ekonomi yang dapat diimbangi daripada segi kadar inflasi yang tidak melonjak dengan cepat sehingga tidak terkawal, dengan pertumbuhan ekonomi dan gaji.

“(Kerana) lagi tinggi gaji, lagi lebih mereka, dan harga barang pun akan naik kerana permintaan lebih. Jadi fokus mana-mana kerajaan pun bukan kepada turunkan harga barang, atau naikkan pertumbuhan (semata-mata), tetapi imbangan yang baik antara inflasi dan juga pertumbuhan,” ujarnya.

Dalam pada itu Rafizi berkata, kerajaan mengambil perhatian daripada pengalaman lepas, terutamanya bagaimana individu atau keluarga dalam kategori M40, terjatuh ke dalam kategori B40 akibat impak COVID-19.

Beliau berkata, kerajaan sedang melihat bagaimana kaedah pelaksanaan mekanisme indeks pautan (index linked), atau mewujudkan sistem pemindahan wang secara terus, yang dapat memberi respons kepada perubahan mengejut dalam ekonomi.

“Kita perlu mempunyai pangkalan data berpusat tentang perincian sosioekonomi isi rumah. Apabila kita mempunyai maklumat seperti itu - pendapatan, perbelanjaan dan sebagainya - maka lebih mudah untuk kita mewujudkan mekanisma tersebut.

“Kerajaan memang sedang mempertimbangkan index linked, kerana kita melihat ia sebahagian daripada reformasi kebajikan sosial. Tetapi ia perlu dilakukan secara berperingkat, dan kita harap sistem kebajikan sosial kita lebih responsif di masa akan datang,” katanya lagi.