KUALA LUMPUR - Penubuhan pasar raya milik kerajaan merupakan antara rumusan hasil perbincangan Meja Bulat Kesejahteraan Sosiobudaya Malaysia Madani 2023, yang diadakan di bangunan Parlimen hari ini.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kenyataan memaklumkan, penubuhan pasar raya tersebut ialah untuk mengimbangi faktor penawaran dan permintaan.

"Meja bulat turut bersetuju supaya kerajaan dapat menyelesaikan isu bebanan tugas guru di sekolah, yang memberi kesan negatif kepada sistem pendidikan dan kepentingan data raya graduan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, selain itu perbincangan juga membawa kepada cadangan untuk mengembangkan model dan amalan terbaik dalam memupuk perpaduan seperti di Sarawak ke seluruh negara.


Perbincangan meja bulat itu juga mengesyorkan kepada kerajaan untuk mengukuhkan penglibatan pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengatasi isu perubahan iklim dan kelestarian ekosistem persekitaran dengan mengambil kira kepakaran dari luar negara untuk mewujudkan pendekatan baharu.

Menurut kenyataaan itu kesemua hasil perbincangan Meja Bulat Kesejahteraan Sosiobudaya Malaysia Madani 2023 itu akan diperhalusi Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosiobudaya Malaysia UPSI sebelum dibawa untuk kajian pihak kerajaan.

Meja Bulat Kesejahteraan Sosiobudaya Malaysia Madani 2023 anjuran Parlimen dan UPSI untuk membincangkan peranan dan gerak kerja seluruh institusi sosial dalam pembangunan negara.

Sebanyak empat kluster utama pembangunan yang menjadi fokus perbincangan secara intensif dan inklusif menerusi sesi dialog, sumbang saran dan wacana meja bulat itu ialah Kesejahteraan, Inovasi dan Pertumbuhan Ekonomi; Pendidikan, Nilai Budaya dan Pembangunan Insan; Keselamatan, Perpaduan Nasional dan Pengukuhan Institusi serta Perubahan Iklim dan Kelestarian Ekosistem Persekitaran.