Apakah itu Audit Tenaga? Audit Tenaga adalah satu kajian berkenaan penggunaan tenaga. Pengguna- pengguna di Malaysia perlulah mengambil perhatian untuk membuat audit tenaga ke atas peralatan elektrik di rumah mereka dan bukan setakat hanya mengunakan peralatan tersebut. Tabiat membuat audit tenaga adalah penting untuk menyemaikan kesedaran penggunaan tenaga elektrik secara berjimat di rumah.

Setiap rumah sedang melakukan pembaziran tenaga tiap-tiap hari tanpa disedari. Justeru itu, kebanyakan masa para pengguna berbelanja lebih untuk membayar bil elektrik sedangkan mereka boleh mengurangkan pembayaran bil tersebut.

Bagaimanakah audit tenaga akan membantu pengguna? Jikalau audit tenaga dilakukan dari masa ke masa, maka para pengguna akan lebih arif tentang penggunaan dan pembaziran tenaga elektrik di rumah mereka.

Malah amalan melakukan audit tenaga ini akan menyemai sikap penggunaan tenaga secara cekap di rumah mereka.

Kempen Kesedaran Kecekapan Tenaga Kebangsaan atau dikenali sebagai SWITCH, yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WeCAM) dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Berhad dan GreenTech Malaysia pada tahun 2010 telah membantu beribu-ribu orang pelajar sekolah memahami tentang penggunaan tenaga secara cekap dan dapat membuat audit tenaga ke atas perkakasan elektrik di rumah mereka. (Layarilah laman web http://switch.org.my untuk mendapatkan keterangan berkenaan kempen SWITCH)

Audit Tenaga juga adalah aktiviti penting dalam memupuk sikap cekap tenaga untuk pengguna domestik. Berdasarkan keputusan audit tenaga yang dijalankan ke atas sesuatu perkakas atau peralatan elektrik, para pengguna boleh bertindak untuk mengurangkan penggunaanya atau menggunakan peralatan elektrik tersebut dengan lebih berhemat. Jikalau didapati perkakas elektrik itu tidak menjimatkan langsung kerana ia tidak cekap tenaga, maka penukaran kepada perkakas Cekap Tenaga dengan label 5 Bintang boleh dipertimbangkan. Malah sebelum pengguna membeli perkakas elektrik di kedai, adalah baik sekiranya pengguna tersebut membuat audit tenaga ke atas jenama-jenama berlainan perkakasan itu untuk mendapatkan perbandingan penggunaan tenaga.

Sebagai contoh, seterika elektrik rumah; seseorang pengguna yang memahami pengunaan tenaga dan bil elektrik yang berkaitan dengannya, akan mengambil langkah-langkah tambahan untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik menggunakan seterika elektrik di rumahnya. Misalnya, pengguna boleh mengosok semua pakaian dalam rumah sekali gus daripada mengosok sedikit demi sedikit secara berulangkali. Tabiat memanaskan alat pemanas seterika berulangkali inilah yang menyebabkan bil elektrik naik dengan lebih cepat.

Bagaimanakah perkiraan audit tenaga dibuat? Ikutilah langkah-langkah di bawah untuk membuat perkiraan audit tenaga:

Langkah 1: Dapatkan Kuasa Peranti atau Peralatan Elektrik tersebut. Maklumat ini biasanya didapati di label belakang peranti tersebut.
P (Kuasa) = V (Voltan) x I (Arus)
P (Power) = V (Voltage) x I (Ampere)

Langkah 2: Nilai P didarabkan dengan jumlah masa penggunaan dan dibahagikan dengan 1000 untuk menjadikan kWj; 
Unit penggunaan tenaga( kWj)     =  P (Watt) x masa(jam)  / 1000                     

Langkah 3: Pengiraan kos tenaga sebulan berdasarkan kadar Tarif.   
Contoh: Seorang pengguna menggunakan adaptor kuasa untuk peranti elektriknya  dan mengikut spesifikasi adaptor kuasa tersebut arus (I) adalah 5A dan voltan (V) 240V. Jika adaptor kuasa ini digunakan 1jam sehari untuk 10 hari dalam sebulan. Kirakan:
i) Nilai kilo Watt jam (kWj) penggunaan tenaga oleh adaptor kuasa untuk sebulan.
ii) Kos elektrik bagi adaptor kuasa ini untuk 1 bulan

Jawapan: Kuasa (dalam watt) adoptor kuasa, P = V x I = 240V x 5A = 1200W
Kuasa, P = 1200W (atau 1.2kW)
Jumlah tenaga yang digunakan dalam kWj bagi satu hari = 1200W x 1jam / 1000 = 1.2 kWj
Jumlah tenaga bagi adaptor kuasa dalam satu bulan = 1.2kWj x 10 hari guna dalam sebulan = 12kWj
Berdasarkan jadual Tarif, kos tenaga bagi 12kWj adalah RM0.218; Jadi kos tenaga untuk adaptor kuasa ini  sebulan = 12kWj x RM0.218 = RM2.62

Thanesh Kumar
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)