Walaupun kini kita sudahpun berada di pertengahan tahun 2011, namun ramai daripada kita terpaksa bersabar dengan penggunaan tangki septik komunal. Begitu juga dengan sikap jiran jiran yang berkongsi tangki septik tetapi tidak bersedia mengambil sebarang tanggungjawab dalam membayar bil untuk perkhidmatan pembetungan serta kos pembaikan jika mengalami kerosakan. 

Ini adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak adil sama bagi pengguna yang memberikan laluan sambungan dan penyaluran kumbahan ke tangki yang berada di dalam kawasan rumah mereka.

Seseorang tidak boleh dibiarkan untuk menanggung semua kos hanya kerana tangki komunal itu berada di unit mereka.

Aduan-aduan yang diterima menunjukkan kurangnya kesedaran dan pemahaman pengguna terhadap isu pembetungan. Pengguna tidak sedar bahawa bahan kumbahan mereka disalurkan ke tangki septik yang mungkin berada di rumah lain yang dikongsi secara bersama oleh  beberapa buah rumah.

Penelitian terhadap kes-kes yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) dan Forum Air Malaysia, jelas menunjukkan ketidakfahaman pengguna tentang perkhidmatan ini.

Misalnya, pengguna tidak tahu mengenai kewujudan AKTA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR 2006 di Malaysia yang mewajibkan setiap pemilik atau penghuni untuk membayar caj untuk perkhidmatan pembetungan seolah-olah mereka ialah pemilik tangki septik individu melalui Seksyen 62 dan 65, sebagaimana yang dinyatakan di bawah ini.



“Sekiranya bahan kumbahan saluran rumah anda disambung terus ke ke loji olahan kumbahan awam “ Sewerage Treatment Plan” anda akan mendapat bil individu daripada syarikat pembetungan Indah Water.

Namun sekiranya anda sedang berkongsi tangki septik dengan jiran anda perlu membayar bersama untuk menyahenap cemar “desludge” dari mana-mana kontraktor yang disahkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Sekiranya anda sedang berkongsi tangki septik dan tidak bekerjasama untuk membayar bil yang diterima tindakan undang undang boleh diambil ke atas anda.”

Sedarlah dan bertindak segera untuk mengetahui status perkhidmatan pembetungan yang sedang diguna pakai di rumah anda. Berikan kerjasama dengan jiran anda yang lain  sekiranya anda sedang menggunakan tangki septik komunal.

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)