Rata-rata masyarakat pasti menggambarkan proses rawatan sisa kumbahan apabila ditanya tentang sistem pembetungan. Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkhidmatan sistem pembetungan di Malaysia?

Perkhidmatan pembetungan ialah proses untuk mengumpul, menghantar, merawat air sisa kumbahan dan menyelenggara sistem pembetungan dan tangki septik. Di Malaysia, perkhidmatan pembetungan terbahagi kepada 2 jenis iaitu sistem pembetungan bersambung terus ke loji rawatan kumbahan awam dan tangki septik individu.

Sistem pembetungan bersambung ke loji rawatan kumbahan awam merupakan perkhidmatan yang menyambungkan saluran paip pembetungan di rumah ke loji rawatan kumbahan awam. Indah Water Konsortium (IWK) diberi tanggungjawab untuk menjalankan operasi dan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan awam.

IWK bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja pembaikan jika terdapat masalah pada saluran paip pembetungan awam seperti tersumbat atau rosak tanpa mengenakan kos terhadap pengguna. Walau bagaimanapun pemilik premis perlu bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan atau tersumbat jika masalah didapati pada saluran paip pembetungan persendirian. (sumber: Buku Panduan Pengguna AirFAM&SPAN)

Bagi tangki septik individu pula, ia merupakan perkhidmatan pembetungan yang teringkas. Sisa kumbahan akan dialirkan ke tangki septik dan tidak menjalani rawatan sepenuhnya, tetapi hanya akan terenap di dasar tangki septik. Justeru, tangki septik perlu dilakukan pengenyah enap cemar sekurang-kurangnya 2 tahun sekali bagi memastikan tangki septik individu itu dapat berfungsi dengan efisien.

Namun proses pengenyah enap cemar akan dikenakan bayaran yang spesifik bergantung kepada kapasiti tangki septik individu itu sendiri. Proses pengenyah enap cemar itu boleh dilakukan oleh IWK ataupun kontraktor berlesen yang lain (sumber: www.iwk.com.my).

 

Syed Mubashir bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia