Ramai peniaga tidak meletakkan tanda harga pada barang jualan mereka. Terdapat juga yang tidak menukarkan tanda harga asal apabila mengadakan jualan promosi.

Keadaan ini berlaku disebabkan kurang kesedaran dalam kalangan peniaga untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan atau bersikap mengambil mudah terhadap perkara tersebut.

Pusat Khidmat Pengguna Nasional sering menerima aduan daripada pengguna yang terkeliru dengan harga yang luar biasa di rak barang. Namun apabila disemak melalui mesin pengimbas hargaharga berlainan ditunjukkan.

Apabila ditanya kepada peniaga atau petugas jawapan mereka ialah “Itu harga promosi belum tukar lagi” sedangkan promosi tamat dua minggu yang lalu.

Peniaga sepatutnya menukarkan tanda harga sebaik saja promosi berakhir. Selain itu tidak ramai pengguna yang memeriksa tanda harga sebelum membuat bayaran. Pengguna tidak pasti berapa banyak barang lagi yang masih belum ditukar tanda harga selepas promosi.

Pengguna harus bertanggungjawab dengan menyemak harga melalui mesin pengimbas harga agar tidak tertipu. Dalam pada itu pihak peniaga juga perlu bertanggungjawab terhadap perniagaan mereka agar tidak mengelirukan pengguna dengan tanda harga promosi yang telah tamat. Gunakan hak sebagai pengguna agar peniaga tidak mengaut keuntungan secara tidak beretika.

 

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)