10 hari Ramadhan telah pun berlalu, saya terpanggil untuk berkongsi dengan pembaca setelah berkunjung di Bazar Ramadan Kelana Jaya dan Jalan Ipoh beberapa hari yang lalu. Gelagat pengguna berpusu-pusu membeli makanan berbuka puasa sejurus lepas waktu bekerja menarik perhatian saya. Tiada aksi tawar-menawar, pengguna hanya terus membayar mengikut harga yang di pamerkan. Di penghujung gerai terdapat gerai menjual makanan mentah seperti ikan, sayur, ayam juga mendapat perhatian pengunjung bazar Ramadhan.

Saya berfikir sebentar, tidakkah pengguna ini mempersoalkan harga makanan yang dikenakan terhadap mereka? Terbaru, kira telah dikejutkan dengan kenaikan harga ayam mentah dan rata-rata pengguna mengeluh dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung masalah kenaikan harga ini. 

Tetapi apakah tindakan kita sebagai pengguna bagi membendung masalah ini? Pemantauan saya mendapati harga kari daging itik seketul  RM5, manakala keesokan harinya dinaikkan kepada RM6. Menurut peniaga, harga daging itik di pasar basah dinaikkan dan harga tersebut terpaksa dikenakan kepada pengguna. Begitu juga dengan harga kuih muih yang saya rasakan tidak setimpal dengan kelazatannya. Harga satu biji/potong kuih berharga 40 sen hingga 50 sen.

Begitu juga dengan penyediaan dan kebersihan di gerai-gerai jualan. Ada sesetengah gerai yang diletakkan berhampiran dengan longkang, sehingga mengundang lalat dan bau yang kurang mengenakan,. Begitu juga makanan tidak ditutup dengan betul dan peniaga tidak memakai sarung tangan serta penutup kepala. Keadaan ini boleh menyebabkan pencemaran makanan oleh mikroorganisma seperti kuman dan bakteria serta pencemaran fizikal seperti kotoran, debu dan sebagainya. 

Sebagai pengguna, kita berhak menegur dan menasihatkan peniaga tersebut supaya menitikberatkan kebersihan dalam makanan. Kesedaran tentang kualiti penyediaan makanan sangat penting kepada peniaga-peniaga dan pengguna itu sendiri. Tahap kesihatan seseorang individu itu bergantung kepada makanan yang diambil seharian. 

Penggunaan beg plastik dan polisterina juga mengundang masalah pencemaran alam sekitar. Andaikan, secara purata seorang pengguna membeli lima jenis makanan, maka lima helai plastik telah digunakan. Bayangkan sekiranya setiap hari terdapat 300-500 pengunjung di Bazar Ramadan. Itu tidak lagi mengambil kira sisa makanan dan sampah yang ditinggalkan oleh peniaga. Kita semua sedia maklum, penggunaan polisterina dalam makanan boleh membahayakan kesihatan dan penggunaan beg plastik mengambil masa beratus-ratus tahun untuk dibiodegrasikan. 

Begitu juga keadaannya di pasar raya-pasar raya. Pengguna dihebahkan dengan jualan murah yang menawarkan harga promosi istimewa. Sekali lagi pengguna terpaksa berhadapan dengan cabaran jualan murah ini. Langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mewajibkan pihak pengurusan pasar raya menyenaraikan harga sebelum dan selepas jualan murah adalah langkah yang bijak dan ia dapat memberi panduan kepada pengguna dalam berbelanja. 

Di samping itu, pengguna haruslah bijak membuat keputusan dalam pembelian barangan, sama ada barangan tersebut merupakan keperluan atau kehendak semata-mata. Sebaik-baiknya pengguna menilai semula tahap kewangan sebelum membuat keputusan dalam pembelian barangan. Perancangan kewangan yang betul akan membantu pengguna berbelanja secara berhemat di bulan Ramadan dan musim perayaan ini. 

Siti Rahayu Zakaria
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)