Petaling Jaya – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah melancarkan Kempen ”Lindungi Anak Kita” pada 12 Oktober 2009 di Institut Pemasaran Malaysia, Petaling Jaya.

Kempen ini bertujuan untuk memberikan kesedaran ibu bapa serta guru tentang kesan yang dihadapi oleh kanak-kanak akibat daripada kegemaran kanak-kanak menonton televisyen dan media baru, seperti internet.


Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC), iaitu bahagian penyelidikan FOMCA, dalam sidang media ketika melancarkan kempen tersebut, mengatakan bahawa media mempunyai banyak kesan yang positif kepada kanak-kanak. Namun begitu, jika tabiat menonton televisyen dan melayari internet ini tidak dikawal, ia akan memberi pelbagai kesan negatif, seperti membentuk sikap materialisme dalam diri kanak-kanak, kurangnya berinteraksi dengan rakan sebaya, menyebabkan masalah obesiti dan sebagainya. 

FOMCA melalui kempen ini akan membantu ibu bapa dan guru beberapa kaedah yang boleh mereka amalkan bagi mengurangkan kesan negatif media terhadap kanak-kanak.

Kempen yang dianjurkan oleh FOMCA ini dijalankan secara berterusan dengan kerjasama beberapa pihak yang berkaitan dengan pendidikan pra-sekolah, seperti Persatuan Tadika Malaysia, Tadika Kemas dan sebagainya.

Dalam sidang media tersebut, FOMCA telah mengedarkan risalah ”Lindungi Anak-anak Kita daripada Risiko dan Pengaruh Media” kepada wakil Persatuan Tadika Malaysia, Kemas dan Kinderland.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Puan Evelyn Foo, wakil Kinderland, Cik Dayang Mastura Bt. Abang Julaihi, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Kemas, Puan.Jayawathi Perera, Presiden, Persatuan Tadika Malaysia dan  Encik Mohd. Yusof Abd. Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA