KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah melancarkan kempen ”Perpaduan Teras Kepenggunaan” pada 1 Ogos 2009 di Kompleks Sukan Tenaga Nasional Berhad. Pelancaran kempen ini telah dilaksanakan oleh YB Dato’ Tan Lian Hoe, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan 

Kempen “Perpaduan Teras Kepenggunaan” bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia selaras dengan inspirasi 1Malaysia yang dipelopori oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dan sempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan sepanjang bulan Ogos ini.

Kempen “Perpaduan Teras Kepenggunaan” dibuat dengan orang ramai meletakkan tapak tangan mereka yang diwarnakan dengan cat di atas kain pemidang sepanjang 13 meter dan 1.3 meter lebar. Sebanyak 800 cetakan tapak tangan telah diletakkan di atas kain pemidang, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan umur.  

Selain itu, bersempena dengan kempen ini juga, FOMCA mengadakan program menulis mesej ”Apa Yang Saya Banggakan Sebagai Rakyat Malaysia”. Sehingga kini sebanyak 1,500 mesej telah dikumpulkan semenjak ia diadakan semasa sambutan Hari Pengguna Malaysia 2009 pada 24 Ogos hingga 26 Ogos 2009 di Kuantan, Pahang. Rakyat Malaysia yang ingin turut serta menulis mesej ”Apa Yang Saya Banggakan Sebagai Rakyat Malaysia” boleh berbuat sedemikian menerusi laman web: www.kkk.org.my.

Perlaksanaan kempen ini merupakan sebahagian daripada program Kempen Konsumer Kebangsaan (3K) yang dilaksanakan oleh FOMCA dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Majlis Belia Malaysia (MBM), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan PETRONAS. 

Pada hari tersebut juga, FOMCA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan turut mengadakan Majlis penyampaian Hadiah bagi meraikan para pemenang pertandingan Hari Pengguna Malaysia 2009. Seramai 73 orang pemenang bagi lapan jenis pertandingan telah menerima hadiah wang tunai yang jumlah keseluruhannya bernilai RM180,000. Seramai 2,000 orang hadir semasa majlis penyampaian hadiah tersebut. 

Selain itu, turut diadakan pertandingan mewarna peringkat akhir yang disertai oleh 550 orang kanak-kanak, gerai pameran dan demonstrasi anjing K9 serta pertolongan cemas dari Persatuan Bulan Sabit Merah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA, Tuan Haji Ismail Abdul Rahman, Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Tenaga Nasional Berhad, Tuan Haji Ahmad bin Othman, Timbalan Presiden FOMCA dan Dr. Mohd Mokhtar Tahar, Pengarah Bahagian Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Dalam pada itu, FOMCA menerima sebanyak 21,351 penyertaan daripada lapan pertandingan kepenggunaan yang diadakan selama tiga bulan, iaitu bermula pada bulan Mei sehingga Julai 2009. 

Sementara itu, FOMCA telah mengadakan aktiviti jangkauan (outreach program) y bagi mempromosi pertandingan kepenggunaan ini. Antara aktiviti tersebut ialah pertandingan mewarna di 19 lokasi iaitu 17 pasar raya Giant serta dua kawasan komuniti, iaitu di Batu Muda, Jln Ipoh dan Taman Bt 3, Shah Alam. Selain itu, sebanyak 38 buah sekolah telah diadakan sesi penerangan pertandingan, yang melibatkan seramai 12,322 orang pelajar. 

Program Pertandingan Kepenggunaan Hari Pengguna Malaysia ini turut mendapat kerjasama Jabatan Standard Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, ERA Consumer Malaysia, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Pesarsatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) dan Angkatan Seni Foto Nasional Wilayah Persekutuan. Penaja program ini ialah Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia (TM), GCH Retail (M) Sdn Bhd (Pasar Raya Giant), ASTRO. Sementara itu penaja bersama ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), SIRIM Berhad, Konsortium ABASS, Proton Bhd, Sime Darby Berhad, Kumpulan Maybank, Hong Leong Bank dan Tropicana Twister (Permanis Sdn. Bhd.)