Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan cadangan untuk mewujudkan gerabak berasingan bagi kaum lelaki dan wanita bagi perkhidmatan komuternya. Begitu juga gerabak yang berasingan bagi keluarga dan warga emas.

Menurut kenyataan KTMB, langkah ini bertujuan untuk memberikan keselesaan, khususnya kepada kaum wanita, yang merupakan hampir 60 peratus pengguna komuter.


Cadangan KTMB disokong oleh Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, kerana ia dapat mengurangkan isu berkaitan perlakuan dan gangguan kurang sopan di dalam komuter. Menurut beliau lagi, langkah ini memberikan wanita pilihan dan merupakan satu usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa gangguan seksual salah dan tidak boleh diterima.

Di Jepun, syarikat tren pertama yang memperkenalkan sistem pengasingan ini adalah National Railroad. Sistem ini telah dihentikan pada tahun 1973, sebelum diperkenalkan semula pada 2001 di Tokyo dan Osaka. Sistem pengasingan dimansuhkan dahulu kerana kerana kedua-dua kaum lelaki dan wanita membayar tiket pada harga yang sama. Oleh itu mereka berhak untuk memilih gerabak yang mereka ingini. Namun begitu, pengasingan tersebut tidak dilihat sebagai satu usaha yang dapat menurunkan jumlah jenayah seksual semasa di dalam gerabak.

Pada hujung tahun 2000, Keio Electric Railway telah memperkenalkan pengasingan tren untuk kaum wanita pada waktu malam sahaja dan kemudian dilanjutkan pada waktu sesak.

Persoalannya, perkhidmatan tren di Tokyo memang terkenal dengan kecekapan dan kebersihannya. Selepas aspek tersebut diberikan tumpuan, maka baharulah dilaksanakan sistem pengasingan gerabak. Sistem diwujudkan tinjauan mereka, hampir 64 peratus wanita Jepun berumur di antara 20-an hingga 30-an diraba semasa menaiki tren. Tetapi mereka berasa malu untuk menyuarakannya. Ini meresahkan kebanyakan Densha (syarikat tren) kerana sebahagian besar pelajar dan pekerja yang merupakan wanita.

Keadaan perkhidmatan tren di Malaysia

Keadaan yang berlaku di Jepun ini tidak berlaku di Malaysia. Perkhidmatan komuter sering tidak mengikut jadual dan mengakibatkan kesesakan di stesen. Selain itu, komuter hanya menyediakan tiga gerabak sahaja pada waktu puncak, sehingga menyebabkan kesesakan yang teruk.

Selain itu, kekerapan berhenti di stesen-stesen yang ada sepanjang rel, turut melambatkan perjalanan penumpang. Penumpang juga tidak dimaklumkan jika berlaku kelewatan komuter dan tiada tren pengganti

Satu lagi masalah lain ialah terdapat mesin menjual tiket yang tidak berfungsi. Ini menyebabkan penumpang terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan tiket sebelum bersesak di platform menunggu tren. Berdasarkan jadual KTMB, penumpang hanya perlu menunggu selama 15 minit. Tetapi akibat daripada penangguhan tren, penumpang terpaksa menunggu lebih daripada 30 minit.

Tren juga tidak menyediakan penghawa dingin pada suhu yang sepatutnya. Ada juga penghawa dingin tren yang gagal berfungsi menyebabkan penumpang terpaksa bertolak ansur dengan bau-bau yang kurang enak semasa di dalam tren.

Keselamatan dan Kebersihan di Stesen

Aspek kebersihan dan keselamatan juga merupakan faktor yang perlu diberikan perhatian oleh pengurusan KTMB. Banyak stesen yang perlu dinaiktarafkan kerana tidak selamat kepada penumpang wanita kerana kedudukan stesen yang tersorok dan agak jauh daripada kawasan yang menjadi tumpuan ramai.

Umpamanya, keadaan di Stesen Kajang pada waktu malam. Kedudukannya agak terpencil dan tidak mempunyai kemudahan lampu yang mencukupi. Begitu juga dengan Stesen Setia Jaya yang mempunyai persekitaran yang menakutkan apabila lalang di sekeliling kawasan stesen itu tidak dibersihkan secara berkala.

Bolehkah masalah jenayah seksual terhadap kaum wanita dapat dikurangkan jika keadaan stesen yang sedemikian rupa? Adakah ini dapat membuatkan penumpang wanita berasa selamat semasa pergi dan balik dari stesen?

Bagaimana pula dengan kemudahan untuk golongan OKU? Mengapa kemudahan untuk mereka tidak dinyatakan dalam cadangan pengasingan ini? Sebahagian besar platform komuter mempunyai jejantas untuk penumpang menyeberangi ke platform yang lain., Adakah kemudahan ini boleh digunakan oleh golongan OKU ini, terutamanya yang menghadapi masalah pergerakan?

Walaupun cadangan pengasingan gerabak ini baik bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini, namun keluhan yang sering diluahkan oleh penumpang adalah penambahbaikan perkhidmatan dan stesen, agar menjadikan platform stesen lebih mesra untuk kaum wanita dan OKU. Faktor inilah yang perlu diberikan keutamaan oleh pengurusan KTMB sebelum cadangan pengasingan dilaksanakan.

Azwa Abd Rahman
ERA Consumer Malaysia
2 April 2010