Lembaga Pelesenan telah melancarkan Kempen Kesedaran Hak-Hak Pengguna Pengangkutan Awam pada 18 Januari 2010. Kempen ini telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Pada peringkat awal pelaksanaan kempen ini, penekanan diberikan kepada hak-hak pengguna perkhidmatan teksi. Salah satu elemen kesedaran ini ialah mempamerkan makluman penggunaan meter beresit pada badan kenderaan dan senarai jenis kesalahan di dalam kenderaan. Ini bertujuan untuk memaklumkan kepada pengguna agar memastikan teksi yang dinaiki menggunakan meter, tiada unsur tawar menawar, resit tambang dikemukakan bagi setiap sewaan dan membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya pemandu teksi melakukan kesalahan.


Walaupun elemen-elemen kesedaran ini telah dinyatakan dengan jelas, namun masih terdapat segelintir pemandu teksi yang enggan menggunakan meter tambang teksi dan tidak memberikan resit kepada penumpang. Tujuan penggunaan meter untuk mengelakkan pemandu mengenakan caj yang melampau kepada pengguna. Namun begitu, terdapat pemandu teksi yang mengabaikan penggunaan meter dan mengenakan bayaran yang tidak setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna. Adakalanya terdapat segelintir pemandu teksi yang memberitahu bayaran yang perlu dibayar oleh penumpang sebelum menaiki teksi.

Pada beberapa minggu yang lalu, rakan saya telah mengambil sebuah teksi dari Kelana Jaya ke PJS14. Pemandu teksi tersebut memberitahu bahawa bayaran ke PJS 14 adalah RM 10 kerana kesesakan lalu lintas. Namun apabila melalui jalan berkenaan, tiada sebarang kesesakan, malah semua kenderaan bergerak dengan lancar.

Isu penggunaan meter di ibu kota sudah lama ditegaskan oleh LPKP, namun nampaknya ia tidak dihiraukan oleh sesetengah pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab. Adakah pemandu teksi hanya memikirkan soal keuntungan dan tidak menghiraukan kebajikan pengguna? Di manakah hak pengguna untuk bersuara?

Manakala, pada hujung minggu yang lepas, saya telah meminta sebuah teksi untuk menghantar saya dari Perhentian Bas Medan Gopeng, Ipoh ke Rapat Setia yang jaraknya hanya 2 kilometer. Pemandu teksi berkenaan telah mengenakan bayaran sebanyak RM 15 untuk jarak perjalanan yang pendek itu. Apabila saya menyoal pemandu teksi itu mengenai kadar bayaran yang dikenakan, alasan yang diberikan oleh pemandu teksi adalah bahawa hari sudah lewat malam. Alasan yang diberikan itu tidak munasabah langsung bagi jarak perjalanan itu dan saya berpendapat bahawa sebagai seorang pengguna, di manakah hak saya?

Penguatkuasaan yang tidak tegas serta sikap kurang bertanggungjawab segelintir pemandu teksi merupakan punca utama berlakunya penipuan dalam penggunaan meter tambang teksi. Justeru, saya menyeru pihak LPKP akan lebih serius terhadap isu penggunaan meter dan meminta penggunaan meter teksi bukan sahaja diamalkan di ibu kota, tetapi juga di bandar-bandar kecil seperti Ipoh, Taiping, Pontian, dan lain-lain.

Sharala Devi Thyakaran
Consumer Research and Resurce Centre (CRRC)
17 Mac 2010