Mac 24, 2023 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan untuk memberi perhatian kepada isu perumahan mampu milik rakyat dalam menangani isu kos sara hidup, selain menumpukan kepada usaha menstabilkan harga makanan.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, isu perumahan bukan semata-mata soal kos pemilikan tetapi juga soal kualiti rumah yang disediakan.

“Pengguna memang merasakan beban mereka sudah semakin berkurang, tetapi (lebih tertumpu) untuk B40. Manakala untuk M40 bagaimana pula?

“Bagi M40 rumah yang mereka mampu beli adalah pada harga RM400,000 ke bawah. Rumah-rumah ini ialah projek perumahan yang disenaraikan dibawah inisiatif Rumah Selangorku, Residensi Wilayah dan PR1MA.

“Rumah kategori ini banyak masalah sebenarnya. Pengguna tidak tahu kepada siapa mahu diadukan masalah sama ada kepada kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan. Akhirnya mereka memilih langkah akhir iaitu tularkan di media sosial,” katanya dalam program Dialog Poket Rakyat terbitan Astro AWANI.

Antara masalah kualiti rumah yang dibangkitkan oleh Asyikin ialah kawasan parkir yang digenangi air meskipun usia rumah baru mencecah tiga hingga empat tahun. '
Kualiti binaan yang rendah seperti ini yang memaksa pembeli mengeluarkan kos tambahan bagi tujuan pembaikan rumah meyumbang kepada beban kos sara hidup.

“Mereka beli rumah dan bayar pinjaman dengan pendapatan mereka. Disebabkan rumah bermasalah ini telah jejaskan kos sara hidup. Harap kerajaan boleh fokus juga kepada isu perumahan selain daripada isu makanan. KPDN juga sudah banyak lakukan,” jelasnya lagi.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/luaskan-konsep-rahmah-meliputi-isu-kos-kualiti-rumah-mampu-milik-fomca-412286