Berita HarianKUALA LUMPUR: Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) membantah kenyataan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kenaikan yuran guaman membabitkan pemindahan hak milik membebankan pembeli.

Presidennya, Datuk Nazri Mustafa, berkata kali terakhir yuran guaman bagi pemindahan hak milik dinaikkan ialah enam tahun lalu iaitu pada 2017.

Beliau berkata, Majlis Peguam sudah mengkaji perkara itu sedalam-dalamnya sebelum mencadangkan kenaikan berkenaan.

"Kami tidak bersetuju kenaikan yuran itu membebankan. Sekiranya seseorang itu mampu membeli rumah, mereka juga perlu menyediakan peruntukan kewangan untuk membayar kos terbabit.

"Tidak menafikan rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos, tapi kos yang bagaimana? Mengapa yuran guaman berkaitan transaksi hartanah yang perlu dikorbankan, sedangkan kesejahteraan rakyat ialah tugas kerajaan masa kini," katanya.

MyCC membantah kenaikan yuran guaman membabitkan pemindahan hak milik dalam keadaan rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

MyCC berkata, walaupun Seksyen 13 Akta Persaingan 2010 mengecualikan perintah pindaan daripada pemakaian akta itu, tindakan yang diambil oleh Majlis Peguam bertentangan prinsip persaingan.

Nazri berkata, yuran guaman bagi pemindahan hak milik masih kedua terendah selepas yuran jurunilai.

"Nilai yuran guaman bagi RM500,000 pertama ialah RM5,000 dan kenaikan 1.25 peratus. Oleh itu, jumlah hanya RM6,250," katanya.



Sementara itu, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) mengatakan tindakan mana-mana agensi menaikkan kos operasi dan sebagainya seolah-olah seperti sabotaj kepada usaha kerajaan.

Presiden CASSA, Datuk Dr Jacob George, berkata kenaikan yuran itu satu perkara yang tidak sensitif.

"Kita sepatutnya membantu golongan sasaran bukan menambah tekanan kepada mereka dengan masalah tertentu. Perkara ini diibaratkan seperti tangan kiri tidak mahu selari dengan tangan kanan dalam melakukan sesuatu.

"Rakyat yang mahu menukar milik ataupun membeli rumah bukanlah orang yang kaya raya. Mereka bukannya mahu membeli rumah yang bernilai jutaan ataupun berbilion ringgit. Kita tidak boleh membiarkan sesiapa utuk sabotaj projek kerajaan yang mesra rakyat," katanya.

Beliau berkata, sekiranya peguam dapat bertolak ansur demi menjaga kepentingan rakyat, lebihan daripada yuran guaman itu dapat digunakan oleh rakyat untuk melakukan ubah-suai kediaman mereka ataupun membeli perabot di rumah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj, berkata bantahan yang dilakukan oleh MyCC adalah berasas.

"Jika MyCC yang membantahan, bermaksud kenaikan yuran itu ada membabitkan isu yang berbangkit.

"Penjual yang ingin meningkatkan harga jualan ataupun servis mempunyai alasan, tetapi kena ada pihak berkuasa yang boleh membuat keputusan yang adil sama ada keputusan itu wajar atau tidak.

"Peguam mesti mempunyai justifikasi tersendiri, tetapi sebagai pembekal servis, kebajikan pengguna juga perlu diambil kira. Menerusi kenaikan ini, adakah adil atau tidak kepada pengguna," katanya.