Projek perumahan yang terbengkalai dan sikap pemaju yang mengabaikan tanggungjawab bukanlah sesuatu yang baru bagi pengguna dan pembeli rumah di Malaysia. Namun jika dilihat kepada perlindungan yang sedia ada atau sejauh manakah seorang pengguna dilindungi oleh undang-undang mahupun oleh pihak berkuasa yang berkaitan masalah perumahan, adalah amat menyedihkan. 

Sistem perumahan, undang-undang berkaitan perumahan, sistem penyelengaraan perumahan pangsapuri dan sebagainya memberikan gambaran yang negatif. Pengguna dan pembeli rumah menghadapi dilema dalam membeli rumah, kos rumah yang mahal tetapi tiada kualiti, pemaju menjual rumah sebagai penjual dan mengelakkan diri daripada undang undang dan berjaya melepaskan diri tanpa dikenakan tindakan.

Projek yang tidak disiapkan dengan baik telah menyebabkan kawasan perumahan yang teruk dan pembeli dibiarkan tanpa kemudahan awam yang lengkap dan sebagainya. Banyak lagi perkara yang perlu ditelitikan dalam pindaan akta perumahan di negara ini agar ia dapat menbawakan perubahan sebenar kepada pengguna dan juga negara. 

Walaupun Kementerian Perumahan telah memulakan perbincangan berkenaan pindaan akta ini, namun pengkhususan harus diberikan. Semua pihak yang berkepentingan seperti persatuan pengguna, pembeli rumah, pengurusan, industri yang berkaitan harus dilibatkan dalam proses pindaan akta ini.

Sudah tiba masanya pemaju mahupun mereka yang menggelarkan diri sebagai penjual untuk lebih bertanggungjawab dan melakukan kerja mereka dengan baik. Kementerian Perumahan juga harus mengkaji latar belakang pemaju, memantau kualiti perumahan awam mahupun swasta agar pengguna dapat sesuatu senilai dengan wang yang dibelanjakan.

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)