Aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) tentang kualiti perumahan dan pemaju yang tidak bertanggungjawab semakin meningkat. Antara aduan yang paling banyak diterima ialah masalah kualiti rumah yang semakin serius. Tidak ada pendekatan serius daripada mana-mana pihak bagi mengatasi masalah ini. Keadaan ini amat menyedihkan memandangkan kos untuk memiliki rumah yang tinggi dan tempoh untuk membayarnya sangat lama. 

Rumah merupakan aset yang berharga dan memilikinya menjadi impian bagi semua orang. Namun begitu, menduduki rumah baru yang defektif adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh mana mana pembeli, lebih lebih lagi apabila berhadapan dengan pemaju yang tidak bertanggungjawab menyelesaikan maslah yang berbangkit.

Persoalannya adakah rumah yang baru dibina itu berkualiti serta bebas daripada kerosakan? Adakah pemaju menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional? Adakah Sijil Layak Menduduki atau CF menjadi pelindung kepada pemaju untuk mengelak daripada kerosakan dalaman yang tidak dapat dilihat? Adakah ia adil dan kepada pengguna? Sering kali apabila berhadapan dengan situasi seperti ini, pemaju akan mengunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan daripada menjalankan tanggungjawabnya. 

Kejadian pembeli rumah yang menjadi mangsa pemaju yang membina rumah yang bermasalah semakin meningkat setiap tahun. Walaupun dalam keadaan peraturan sedia ada mengkehendaki pemaju bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan dalam tempoh dua tahun. 

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu memastikan pemaju bertanggungjawab terhadap kerosakan rumah sekiranya masih dalam tempoh liabiliti kerosakan. Sebarang kelemahan peraturan sedia ada dalam aspek ini perlu dibaiki dan dipinda dengan segera. 

Semua pembeli rumah berhak untuk mendapat rumah yang yang bebas daripada kerosakan walaupun setelah menerima CF. Pemaju mempunyai tanggungjawab untuk membaiki kerosakan yang berlaku. 

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)