Setelah bertahun-tahun menangguhkan pelaksanaan GST semenjak mula diperkatakan dalam bajet 2005, YAB. Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan mengumumkan pelaksanaan GST mulai pada 1 April 2015, dalam pembentangan Bajet 2014.

Agak memeranjatkan apabila kadar GST yang akan dikenakan ialah 6%, bukannya 4% sebagaimana yang diunjurkan sebelum ini. Namun begitu, angka tersebut juga tidak menghairankan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’  Sri Idris Jala pernah membayangkan kerajaan akan mengutip sehingga sebanyak RM27 bilion sekiranya GST dikenakan pada kadar 7%. Ini seolah-olah menunjukkan kerajaan mungkin mengenakan kadar dalam lingkungan tersebut bagi memperoleh jumlah hasil daripada kutipan cukai yang dapat menampung defisit fiskal negara.

Kerajaan memperuntukkan masa selama 15 bulan untuk melaksanakan GST. Memang kerajaan telah mula mengadakan sesi penerangan tentang GST semenjak tahun 2006 lagi apabila ura-ura GST akan dilaksanakan pada 1 Januari 2007 dahulu. Semenjak itu, sesi penerangan kepada pihak-pihak berkepentingan telah dijalankan, seperti agensi kerajaan, persatuan peniaga, persatuan pengguna, NGO dan sebagainya.

Namun begitu, apa yang kurang ialah penerangan tentang GST kepada rakyat. Tidak terdapat sebarang kempen penerangan dan risalah tentang GST disebarluaskan kepada rakyat sehingga kini. Rakyat masih tidak jelas apakah kesannya GST kepada mereka apabila dilaksanakan. Adakah berlaku kenaikan atau penurunan harga barang atau perkhidmatan apabila GST dikuatkuasakan? Akibat daripada kurangnya penerangan tersebut, maka pelbagai salah faham timbul tentang GST.

Kerajaan gagal menggunakan jenteranya untuk menerangkan tentang GST di peringkat akar umbi. Jabatan Penerangan wujud di peringkat persekutuan, negeri dan daerah. Namun peranan agensi kerajaan ini gagal digembleng sepenuhnya untuk memberikan kefahaman kepada rakyat tentang GST. Masalah yang sama juga berlaku tentang isu rasionalisasi subsidi.

Dalam tempoh 15 bulan ini, kerajaan sewajarnya menggunakan semua jentera agensi kerajaan untuk memberikan penerangan tentang GST, termasuk bekerjasama dengan NGO, seperti persatuan pengguna. Penerangan tentang GST perlu dibuat secara telus dan mudah difahami oleh rakyat.

Rakyat perlu dijelaskan kesan sebenar GST kepada mereka. Jika berlaku kenaikan harga barang,  maka ia perlu dijelaskan supaya tidak berbangkit sesuatu isu apabila GST dilaksanakan kelak.

Dalam masa yang sama, bahan bacaan dalam pelbagai bahasa tentang GST perlu diterbitkan agar semua peringkat masyarakat memahami tentang GST. 

Dalam melaksanakan GST, kerajaan Malaysia boleh mengambil model di Australia, apabila Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan GST. ACCC ditugaskan untuk memberikan penerangan kepada rakyat Australia tentang GST, menerbitkan buku panduan, risalah, panduan harga dan sebagainya. Begitu juga, ACCC diberi tanggungjawab untuk memantau pelaksanaan GST. Badan seumpama ini perlu diwujudkan di Malaysia.

Selain itu, kerajaan juga wajar membuat simulasi pelaksanaan GST sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 1 April 2015. Sektor perniagaan tertentu seperti pasar raya besar boleh melaksanakan GST lebih awal sebagai projek rintis. Ini bagi memantau keberkesanan pelaksanaan GST. Sekiranya terdapat sebarang kelemahan, maka ia boleh diperbaiki sebelum dilaksanakan sepenuhnya kelak.

GST memberikan kesan yang besar kepada rakyat di Malaysia. Namun jika pelaksanaannya tidak dibuat secara yang menyeluruh dan telus, dibimbangi pelaksanaannya akan memberi kesan yang negatif kepada kerajaan kelak.

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)