Perubahan iklim telah dikenal pasti sebagai punca berlakunya bencana ataupun krisis paling besar yang melanda dalam sejarah ketamadunan manusia. Sejak tahun 1990-an, banyak perundingan dan perbincangan diadakan bagi mengatasi masalah dunia ini. Namun sehingga kini masih tidak membuahkan sebarang sebarang perjanjian yang benar-benar boleh mengatasi masalah ini. 

Tidak ada lagi perjanjian seperti Protokol Kyoto telah mewajibkan negara-negara yang menandatangani perjanjian ini untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bagi memperlahankan proses pemanasan global. 

Pelepasan gas rumah hijau yang terlalu tinggi menjadi sebab utama berlakunya pemanasan global, yang sebahagian besarnya berpunca daripada manusia. Dengan itu, perubahan iklim yang asalnya merupakan proses semula jadi di bumi, telah menjadi senjata boleh boleh membinasakan apabila pelepasan gas rumah hijau disumbangkan oleh pembangunan manusia ke dalam atmosfera.

Kebanyakan pelepasan gas rumah hijau berasal daripada stesen penjanaan kuasa elektrik melalui pembakaran bahan api fosil seperti arang batu dan minyak. Gas rumah hijau yang dilepaskan daripada bahan api fosil sebanyak 40% daripada jumlah pelepasan. Sememangnya bahan api fosil ini telah banyak membantu dalam pembangunan sejarah ketamadunan manusia, tetapi ia juga telah meninggalkan kesan yang membinasakan kepada alam sekitar. Selain itu, sumber bahan api fosil merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui.  

Penemuan bahan api fosil seperti arang batu dan minyak mentah telah mendorong penduduk dunia bertambah dengan pesat. Apabila teknologi moden carigali minyak telah dicipta pada abad ke 19, penduduk dunia, pertambahan penduduk kian pesat lagi. Mengikut unjuran yang telah dilakukan oleh ahli sains geologi M. King Hubbert, kini dunia telah melepasi tempoh kemuncak penggalian minyak. Ini bermakna bekalan minyak yang terdapat di bawah tanah sedang menurun, iaitu permintaan telahpun melepasi bekalan yang boleh disalurkan. 

Hakikat ini telah mendorong negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Jepun untuk mencari sumber tenaga yang baru. Salah satu daripadanya adalah tenaga nuklear. 

Tenaga nuklear sememangnya merupakan teknologi bersih yang tidak banyak menghasilkan gas rumah hijau jika berbanding dengan bahan api fosil. Menyedari fakta ini, banyak negara maju telahpun membina stesen janakuasa tenaga nuklear dengan alasan bahawa teknologi ini boleh merendahkan pelepasan gas rumah hijau di samping membekalkan tenaga yang cukup untuk pembangunan.

Namun, tenaga nuklear merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Bahan-bahan galian yang diperlukan dalam teknologi penjanaan tenaga nuklear merupakan bahan-bahan yang radioaktif, iaitu ia boleh mengakibatkan penyakit barah sekiranya seseorang terdedah kepada bahan tersebut untuk satu jangka masa tertentu, bergantung kepada tahap radioaktif bahan tersebut. Di samping itu, bahan galian radioaktif ini perlu digali, diekstrak, diproses dan dihantar ke stesen janakuasa tenaga nuklear. Proses ini boleh meninggalkan banyak kesan pencemaran alam sekitar dalam proses ini. 

Malapetaka gempa bumi yang berlaku Jepun pada 11 Mac 2011 telah menyebabkan tragedi kebocoran bahan radioaktif daripada stesen janakuasa tenaga nuklear yang terbesar sejak tragedi yang berlaku di Chernobyl, hampir 25 tahun dahulu. Kebocoran bahan radioaktif tersebut telah menyebabkan industri perikanan dan pertanian di kawasan Fukushima lumpuh sama sekali. Menurut berita terbaru, dalam masa 30 tahun yang akan datang, bahan radioaktif yang dilepaskan ke dalam Lautan Pasifik oleh kerajaan Jepun akan tersebar ke seluruh kawasan lautan yang terbesar di dunia tersebut. 

Malapetaka ini telah mendorong perdana menteri Jepun, Naoto Kan untuk menumpukan pelaburan negara tersebut ke dalam sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti biojisim dan tenaga suria untuk membangkit semula. 

China yang merupakan negara pelepas gas rumah hijau yang utama di dunia, telahpun memulakan rancangan-rancangan yang bercita-cita tinggi iaitu untuk membekalkan 70% tenaga negara tersebut dengan menggunakan sumber yang boleh diperbaharui. Selain itu, kerajaan China juga telah mengurangkan skala program tenaga nuklear yang telah dirancang untuk masa depan selepas malapetaka tersebut.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama juga menyokong pembangunan teknologi bersih seperti sel-sel tenaga suria dan bahan api bio (Biofuel), namun dalam masa yang sama masih masih menyokong teknologi tenaga nuklear. 

Keadaan yang paling dramatik berlaku di Eropah Barat, apabila Jerman yang telah merancang untuk menghentikan semua stesen janakuasa tenaga nuklear yang telah beroperasi selama 25 tahun, telah mempercepatkan rancangan tersebut selepas berlakunya malapetaka tersebut. Kerajaan Jerman dengan serta-merta telah menghentikan 17 reaktor nuklear untuk pemeriksaan keselamatan. Selain itu, kerajaan Jerman juga merancang untuk menghentikan tenaga nuklear menjelang tahun 2020 dan menumpukan perhatian kepada teknologi tenaga bersih yang benar-benar mampan.  

Tenaga nuklear hanya merupakan jalan penyelesaian yang sementara untuk menangani isu perubahan iklim. Namun, risiko kesan dan impak tenaga nuklear kepada alam sekitar amat besar dan sukar diramal sehingga menyebabkan negara maju seperti Jepun langsung tidak mempunyai keupayaan untuk menanganinya apabila bencana berlaku, sehingga terrpaksa meminta pertolongan luar negara. 

Justeru, kerajaan Malaysia harus merenungi isu ini dan mengkaji semula keputusan untuk membina 2 buah stesen janakuasa tenaga nuklear menjelang tahun 2020. Pada masa yang sama, tumpuan hendaklah diberikan kepada pembangunan teknologi sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan benar-benar mampan, dan bukan menolaknya sama sekali hanya kerana kos yang mahal.

Sumber tenaga bersih yang boleh diperbaharui dan lestari merupakan hala tuju dunia untuk jangka masa lama bagi menangani isu perubahan iklim dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia