Harga petrol Ron 97 dinaikkan sebanyak RM2.70 seliter  pada 2 April 2011. Harga ini menyamai harga petrol pada 5 Jun 2008. Perbezaannya ialah kenaikan harga RON97 pada masa ini berdasarkan harga bahan api di pasaran antarabangsa.

Kerajaan tidak lagi memberikan subsidi bagi RON97. Dalam masa yang sama harga petrol RN95 masih kekal RM1.90 seliter. Pada 4 April lalu, harga minyak mentah di pasaran antarabangsa meningkat sebanyak AS$108 setong.

Pengguna bimbang kenaikan harga pertol ROM97 akan menyebabkan harga barang dan perkhidmatan meningkat, sebagaimana yang berlaku pada tahun 2008. Ketika itu kerajaan tidak dapat mengawal kenaikan harga barang kerana ia bukannya barang kawalan.

Pada 1 April 2011 kerajaan telah menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan. Dengan berkuatkuasanya akta ini, kerajaan tidak sebab untuk tidak mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga barang atau perkhidmatan dengan sewenang-wenangnya. Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka sebagaimana yang termaktub dalam Akta ini.

Walau bagaimanapun pengguna juga perlu faham bahawa terdapat juga kenaikan harga barang yang bukan disebabkan oleh kenaikan harga minyak. Sebaliknya kenaikan itu berpunca daripada kenaikan harga bahan makanan global yang turut meningkat pada masa ini, yang sebahagian besar disebabkan bencana alam yang berlaku seperti banjir dan kemarau.

Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan daripada luar negara. Nilai import bahan makanan pada tahun 2010 hampir 28 bilion. Sudah pasti kenaikan bahan mentah di peringkat antarabangsa akan menjejaskan harga bahan makanan dalam negara.

Justeru, kerajaan perlu memastikan bahan makanan asas negara mencukupi dengan mewujudkan Dasar Jaminan Makanan yang bersifat jangka panjang dan berterusan. Kebergantungan kepada bahan makanan import hendaklah dikurangkan sehingga sebahagian besar bahan makanan untuk keperluan negara adalah dihasilkan dalam negara. 

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA)