Telefon bimbit telah menjadi satu keperluan bagi masyarakat pada zaman sekarang. Terdapat golongan masyarakat, terutamanya golongan muda, yang hidup mereka tidak dapat dipisahkan daripada telefon bimbit. Ini disebabkan oleh pelbagai perkhidmatan yang dapat dibekalkan daripada telefon bimbit di zaman sekarang, seperti melayari internet, mengambil gambar, menulis blog, muat turun lagu dan pelbagai aktiviti lagi. Orang ramai menggunakan telefon bimbit semasa di sekolah, tempat kerja, ketika memandu dan juga semasa berjalan kaki. 

Namun begitu, penggunaan telefon bimbit tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya di semua tempat. Ini terutamanya di kawasan yang boleh terganggu oleh isyarat yang terdapat pada telefon bimbit, seperti di hospital, dalam kapal terbang dan sebagainya. Begitu juga, telefon bimbit tidak boleh digunakan semasa memandu kenderaan.


Justeru, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Kolej Universiti Help telah mengadakan Kempen ”Memandu Adalah Zon Tanpa Telefon”. Kempen ini telah dilancarkan oleh Datuk Michelle Yeoh, selaku Duta Global Keselamatan Jalan Raya pada 23 Mac 2011 lalu. 

Pengunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan salah satu faktor penyumbang kemalangan di jalan raya. Menurut Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), masih terdapat ramai pemandu yang leka menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan ketika memandu. Kesedaran tentang bahaya menggunakan telefon bimbit ketika memandu dalam kalangan pengguna jalan raya berada pada tahap yang membimbangkan. Mereka mengganggap menggunakan telefon bimbit semasa memandu sebagai perkara remeh. 

Apa yang lebih membimbangkan ialah, terdapat pemandu menggunakan telefon untuk membalas atau membaca SMS sambil memandu. Ini bukan sahaja terjadi dalam kalangan pemandu kereta, malah pemandu motosikal pun mengamalkan sikap yang sama. Membaca atau membalas mesej memerlukan tumpuan yang lebih daripada bercakap melalui telefon. Ini mengakibatkan kemalangan berlaku dengan lebih kerap kerana kecuaian pemandu yang asyik memberi tumpuan kepada telefon bimbit dan bukannya pada yang ada di hadapannya. 

Menurut laporan akhbar tempatan, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan telefon bimbit membawa gangguan kepada pemandu, yang kesannya sama seperti memandu dalam keadaan mabuk. Kajian itu juga menunjukkan bahawa memandu dengan alat bebas tangan sekalipun masih mengurangkan kepekaan pemandu kepada sekelilingnya. 

Pihak berkuasa yang berkaitan hendaklah menjalankan kajian kesan penggunaan alat tangan bebas telefon bimbit ke atas kejadian kemalangan di jalan raya bagi mengenal pasti risiko tersebut kepada pengguna jalan raya.  

Tindakan yang lebih tegas perlu dilakukan terhadap mereka yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Selain itu, pengguna jalan raya patut memainkan peranan dalam menjaga keselamatan sendiri dan orang lain. Mereka perlu diberikan kesedaran bahawa sikap mereka boleh membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain. Mereka perlulah menjadi pengguna jalan raya yang lebih bertanggungjawab. Jika amalan ini dapat diterapkan dalam diri pemandu di Malaysia, ia dapat mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh kecuaian pengguna jalan raya.  

Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna